KERAJAAN digesa supaya tidak melaksanakan dasar kategori beras putih tunggal di dalam pasaran negara seperti dicadangkan melalui pengenalan jenama Beras Putih Malaysia Madani (BPMM).
Pengarah Urusan Mydin, Datuk Ameer Ali Mydin berkata, langkah itu disifatkan bukan satu keputusan yang baik bagi sektor industri beras di dalam negara.
Malah, beliau berkata, ia juga dilihat hanya memberikan tekanan terhadap kerajaan bagi menampung perbelanjaan inisiatif tersebut.
"Takkanlah semua beras kita nak jual satu brand. Kalau nak adakan beras Madani sebagai satu jenama, itu mungkin akan timbulkan masalah di pihak kerajaan untuk laksanakan.
"Tapi yang penting bukan jenama, tapi harga. Rakyat Malaysia tak susah dengan beras apa pun, selagi itu adalah beras Super Spesial Tempatan lima peratus (SST5) dengan harga mampu milik," katanya kepada Majoriti.
Menurut Ameer, cadangan untuk memperkenalkan harga kawalan RM30 bagi BPMM juga disifatkan hanya bakal membebankan Kerajaan dengan mengambil kira peningkatan harga padi yang kini meningkat kepada RM1750 per tan.
Ini kerana menurutnya, dengan pelaksanaan harga kawalan tersebut, Kerajaan dijangka perlu menampung perbelanjaan subsidi yang cukup besar.
"Kalau harga padi RM1750 satu tan, maknanya harga beras akan dijual pada harga lebih kurang RM36. Jadi siapa yang nak tampung lagi RM6?
"Melainkan Kerajaan nak buat subsidi untuk beras Madani. Tetapi ini langkah yang salah sebab Perdana Menteri selalu beritahu kerajaan nak kurangkan pemberian subsidi (pukal)," ujarnya.
BACA LAGI: Penentuan harga kawalan minggu depan, PM Anwar yakin harga beras boleh dikurangkan
Anwar (tengah) ketika mempengerusikan Naccol.
Menurut Ameer, pengenalan satu kategori beras juga bakal merumitkan lagi usaha Kerajaan dalam memastikan kestabilan bekalan beras di pasaran negara dan seterusnya menurunkan harga makanan ruji tersebut.
"Jangan sebab kita nak buat sesuatu yang sedap dengar, sediakan beras Madani RM30, tapi pada masa sama nanti beras SST5 tempatan tidak ada dalam pasaran.
"Jadi sebenarnya kalau nak buat sesuatu itu yang penting ketersediaan bekalan. Kalau bekalan stabil dan banyak, baru beras boleh murah," ujarnya.
Sehubungan itu, beliau mengulangi cadangannya supaya Kerajaan melaksanakan pengapungan terhadap harga beras tempatan di dalam negara yang ketika ini dikawal pada harga siling RM2.60 setiap kilogram.
Ujarnya, meskipun langkah tersebut bakal menyebabkan kenaikan terhadap harga makanan ruji berkenaan, Kerajaan boleh menanganinya dengan menyediakan subsidi bersasar terhadap golongan memerlukan.
BACA LAGI: Campur tangan di peringkat pengguna untuk atasi isu bekalan barang — Anwar
Harga kawalan beras tempatan kini ditetapkan pada harga RM2.60 setiap kg — Gambar hiasan
Katanya, pemberian subsidi bersasar melalui pindahan tunai menerusi inisiatif seperti Sumbangan Asas Rahmah (MySARA) adalah lebih berkesan berbanding pemberian subsidi pukal dengan penetapan harga kawalan beras.
"Contoh, satu isi rumah biasanya menggunakan 20 kg beras. Kalau 10 kg sekarang ini RM26, bila diapungkan mungkin naik sampai RM40. Jadi kenaikan bakal itu dirasai baru RM14, kalau 20kg jadi RM28.
"Jadi kalau sebelum ini MySARA bagi RM100, sekarang ini mungkin dapat tambah RM30 jadi RM130 kepada kumpulan pendapatan yang memerlukan.
"Kalau penerima isu rumah satu juta, kerajaan kena belanja keseluruhan baru RM28 juta. Kalau dua juta baru RM56 juta. Jadi ia tidak sebesar perbelanjaan tampung subsidi kekalkan harga kawalan," katanya.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim memaklumkan isu harga kawalan beras akan menjadi salah satu agenda utama pada Mesyuarat Jawatankuasa Pemantauan Pelaksanaan Majlis Tindakan Sara Hidup (Naccol) yang akan berlangsung pada Jumaat — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram