BERBAKI kurang sebulan sebelum tarikh penutupannya, inisiatif Sistem Pangkalan Data Pusat (PADU) dilihat masih dibelenggu dengan isu pendaftarannya yang didakwa masih rendah.
Setakat 25 Februari lalu, dianggarkan sebanyak 3.79 juta isi rumah dilaporkan sudah menyelesaikan proses pendaftaran PADU.
Perkembangan itu disifatkan cukup rendah kerana ia dilihat masih jauh untuk mencapai sasaran yang ditetapkan sebelum ini iaitu melibatkan 29.8 juta orang.
Menyentuh mengenai isu tersebut, Menteri Ekonomi, Rafizi Ramli berkata, kadar pendaftaran direkodkan itu tidak boleh dibandingkan dengan jumlah keseluruhan lebih 30 juta rakyat Malaysia.
Ini kerana menurutnya, PADU menggunakan data yang melihat kepada isi rumah.
"Jadi yang mengatakan pendaftaran PADU rendah, ia kurang tepat. Isi rumah ketika ini adalah 7.9 juta dan itu pun belum diambil kira golongan bujang dan tidak berkeluarga.
"Itu juga dikira sebagai satu isi rumah. Jadi jumlah isi rumah dijangka naik kepada 9 juta," katanya ketika di Dewan Rakyat pada Selasa.
Menteri Ekonomi, Rafizi Ramli.
Dengan mengambil kira kenyataan tersebut, ini bermakna pada ketika ini, tidak sampai separuh atau 42 peratus daripada 9 juta isi rumah di Malaysia sudah melengkapkan pendaftaran PADU.
Dalam pada itu, tinjauan dilakukan Majoriti pada Jumaat mendapati kesedaran mengenai inisiatif pangkalan data tersebut didapati masih agak rendah dalam kalangan mereka yang ditemu bual.
Selain daripada tidak jelas dengan kepentingan PADU, terdapat juga antara mereka yang ditemui langsung tidak sedar mengenai kewujudan inisiatif berkenaan.
Bagi penjual akhbar, Mohamad Ibrahim Abdul Hamid, 61, meskipun mengetahui mengenai kewujudan PADU, dia masih tidak jelas dengan kepentingan pangkalan data berkenaan.
"Saya tahu, cuma tak berapa mendalam, Tapi memang nak daftar, mungkin akan suruh anak yang buatkan," katanya yang sudah berniaga menjual akhbar sejak 30 tahun lalu.
Mohamad Ibrahim Abdul Hamid.
Seorang pekerja teknologi maklumat di Kuala Lumpur, Ahmad Haziq Aiman Ahmad Affendy, 27, berkata, dia sememangnya merancang mendaftarkan diri ke dalam PADU selepas dimaklumkan oleh ibu bapanya baru-baru ini.
Mengulas mengenai punca dia mengambil masa terlalu lama bagi melengkapkan pendaftaran tersebut, Ahmad Haziq memaklumkan dia mengakui memiliki keterbatasan waktu untuk melakukannya.
"Saya pun secara jujurnya tak berapa faham mengenai tujuan pendaftaran ini. Jadi itu yang mungkin macam agak bertangguh.
"Kemudian saya pun sebenarnya tahu perkara ini daripada ibu bapa saya. Dia cakap kalau tak daftar, mungkin bakal tak terlepas untuk dapat sebarang insentif daripada kerajaan," katanya
Dalam pada itu, seorang cef dari Petaling Jaya, Selangor, Quah Ban Lee Charles, 30, ketika ditemui berkata, dia sememangnya tidak mengetahui mengenai pangkalan data berkenaan.
Pada masa sama, dia yang masih bujang dan tinggal bersama keluarganya juga tidak berhasrat mendaftarkan maklumat peribadinya di bawah PADU.
"Saya sebelum ini memang tidak pernah mendapatkan sebarang bantuan daripada kerajaan," katanya.
Ahmad Haziq Aiman Ahmad Affendy.
Seorang pembantu gerai makan di Taman Tun Dr Ismail, Kuala Lumpur, Rajendran Nedesan, 59, berkata, sama seperti Ban Lee, dia juga tidak mengetahui mengenai inisiatif tersebut.
Dia yang hidup seorang diri sejak tiga tahun lalu dan sudah berpisah dengan isterinya juga mengakui tidak begitu yakin sekiranya perlu mengisi data secara dalam talian.
"Sebelum ini bantuan e-wallet RM100 pun saya tak dapat. Saya tak tahu macam mana nak daftar," ujarnya.
"Dah tahu ini mungkin saya akan cuba pergi ke pusat perkhidmatan Parlimen untuk minta tolong mereka daftarkan," kata Rajendran yang menampung hidup dengan mengambil upah harian sebanyak RM20 sebagai pembantu gerai makanan.
Terlampau banyak skim bantuan buat rakyat mudah keliru
Dalam pada itu, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Skudai, Marina Ibrahim mengakui tahap kesedaran mengenai kepentingan PADU didapati masih agak kurang dalam kalangan rakyat.
Beliau yang juga Penolong Setiausaha Publisiti DAP Johor berkata, ini kerana hebahan bagi pendaftaran pangkalan data itu dilihat belum begitu cukup meluas.
Marina turut tidak menolak kemungkinan kewujudan terlampau banyak skim bantuan dilaksanakan kerajaan ketika ini turut menyebabkan ramai pihak keliru dan kurang jelas berkenaan inisiatif berkenaan.
"Sebabnya orang susah ini bila dia bekerja dia tidak perasan. Memang orang akan kata, main sosial media boleh, takkan nak daftar skim pun tak.
"Tapi hakikatnya bila kita turun ke lapangan, kadang orang yang umur 20-an nak daftar BPR (Bantuan Prihatin Rakyat) yang sebelum ini dikenali sebagai Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M) pun mereka tak tahu.
"Sebab orang susah ini dia hari-hari fikir keluar cari rezeki, kadang terlepas skim yang ditawarkan kalau cara pendaftaran dia lain dan berbeza," ujarnya kepada Majoriti.
Antara orang ramai yang membuat pendaftaran PADU di pusat khidmat ADUN Skudai. — Twitter/MarinaIbrahim
Untuk menangani isu tersebut, Marina berpandangan kerajaan seharusnya menyelaraskan proses pendaftaran berkenaan dengan pemberian sebarang bantuan khususnya melibatkan kumpulan yang memerlukan.
Katanya, ini kerana langkah berkenaan secara langsung memberikan galakan tambahan terhadap kumpulan berkenaan untuk mendaftar.
"Contohnya mungkin kalau mereka daftar PADU hari ini, mereka akan dapat tuntut sekali bantuan baucar e-wallet atau bakul makanan contohnya.
"Kadang-kadang orang ini dia tak akan buat sesuatu yang tak datangkan manfaat kepada mereka. Ya, kita tahu PADU ni penting untuk kutip data, strukturkan bantuan dan sebagainya.
"Tapi masalahnya, mereka ini tak peka pasal benda itu sebab kita cakap sahaja, jadi rakyat tak nampak," katanya yang turut menyediakan perkhidmatan pendaftaran PADU di pusat khidmatnya.
Untuk rekod, PADU merupakan sistem diwujudkan untuk menyediakan pangkalan data utama negara bagi penghasilan analitik berkala dan digitalisasi tanpa ketirisan.
Di laman web rasminya, PADU disifatkan antara lain berperanan untuk memastikan kumpulan yang layak menerima manfaat berbentuk bantuan atau perlindungan daripada pelbagai inisiatif kerajaan.
Tempoh semakan dan kemas kini pendaftaran profil PADU dibuka sehingga 31 Mac depan. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram