Rumah PRR harga RM60,000 tapi ramai bimbang OPR naik bantut hasrat beli hartanah


  • Massa
  • Jumaat, 08 Mac 2024

Model perumahan awam baharu dinamakan PRR sedang dirangka KPKT. — Gambar hiasan

PENGUMUMAN perangkaan model baharu perumahan awam dinamakan Program Residensi Rakyat (PRR) oleh Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) mengundang pelbagai reaksi orang ramai.

Terbaharu, Menteri KPKT, Nga Kor Ming dilaporkan berkata, PRR akan menjadi kawasan perumahan yang bersepadu, mampan, berbaloi untuk didiami, mempunyai daya maju komersial berkualiti, ruang hijau, pusat komuniti dan ciri-ciri lain.

Bukan itu sahaja, menurutnya, kos pembinaan setiap unit PRR akan dinaikkan kepada RM300,000 sekali gus menawarkan golongan berpendapatan rendah rumah berkualiti dengan bayaran harga berperingkat (piecemeal price).

BACA LAGI : ‘KPKT perlu buat intervensi teliti profil penyewa, bantu tingkatkan pendapatan selesaikan isu tunggakan sewa PPR’

Deputy Speaker Nga Kor Ming

Nga menyatakan bahawa projek PRR sedang dalam perancangan. — The Star

Laporan berita turut menyebut bahawa di bawah PRR baharu, kos RM300,000 seunit akan dijual pada harga RM60,000. Daripada RM60,000 itu, kira-kira RM10,000 hingga RM15,000 akan diperuntukkan untuk dana penyelenggaraan dan dana terikat.

Namun, pemilik rumah PRR itu perlu mengikut syarat-syarat ditetapkan seperti moratorium selama 10 tahun yang mana mereka tidak boleh menjual unit yang dibeli.

Ia kerana KPKT mahu memastikan bahawa tiada pihak yang tidak bertanggungjawab mengambil kesempatan ke atas perumahan sosial.

Perkara itu bagaimanapun dilihat membangkitkan persoalan dalam kalangan masyarakat tentang kemampuan hartanah itu untuk dimiliki dengan pelbagai isu berkaitan tunggakan sewa oleh sebahagian pemilik Projek Perumahan Rakyat (PPR) berlegar-legar di media.

BACA LAGI : Culas bayar sewa PPR, 'auto deduct' akaun bank antara cara baharu boleh dipertimbang

1469622

PRR akan menjadi kawasan perumahan yang bersepadu, mampan, berbaloi untuk didiami. — Gambar hiasan

Ada yang berpendapat bahawa pengenalan model perumahan baharu itu tidak menyelesaikan isu lambakan rumah tidak terjual di negara ini.

Tidak sekadar itu, pengguna Facebook Alawiyyah turut mempersoal tentang golongan sasaran kerajaan untuk menjual rumah PRR tersebut.

"Rumah yang tak terjual banyak kat Malaysia, lagi kerajaan nak buat model rumah baharu, siapa target market kerajaan?," soalnya.

Selain itu, rancangan berkenaan juga menimbulkan tanda tanya kepada orang ramai tentang lokasi PRR akan didirikan kelak selepas mengetahui harga dan kos seunit.

"Kalau kos RM300,000, harga pula RM60,000 agak-agak lokasi kat mana? kat pinggir bandar ke?," soal Akif Loqman.

Di sebalik komen-komen itu juga, ada yang turut berpendapat harga yang ditawarkan agak berbaloi untuk golongan berpendapatan rendah mencapai impian memiliki rumah idaman masing-masing.

"Harga mampu milik cuma kurang faham dengan apa yang dimaksudkan dengan peruntukan bagi dana penyelenggaraan dan dana terikat. Macam mana mekanisme pembiayaan dengan bank?

"Dahlah OPR (Kadar Dasar Semalam) naik berapa kali dah ni. Asyik terbantut saja niat nak beli rumah sebab kenaikan kadar faedah bank," aju Munirah.

Sebelum ini, projek seakan-akan sama itu telah dilaksanakan KPKT iaitu PPR.

PPR merupakan perumahan awam yang dibina khas untuk penempatan golongan B40 dan mempunyai dua kategori iaitu PPR Dimiliki dan PPR Disewakan. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram