MALAYSIA disarankan untuk tidak terlalu bergantung kepada kemasukan pelancong dari China sebagai salah satu mekanisme untuk menjana ekonomi negara.
Ahli Parlimen Bachok, Mohd Syahir Che Sulaiman berpandangan, negara dilihat terlalu berharap kepada pelancong dari negara tersebut untuk membantu mengukuhkan nilai mata wang ringgit yang kini agak rendah.
Beliau yang juga penganalisis ekonomi berpendapat, kerajaan boleh melaksanakan konsep ‘low hanging fruits', yang merujuk pada peluang dan potensi yang mudah diperoleh dengan usaha atau pelaburan minimum.
Malah ujarnya, perkara itu juga pernah dibangkitkan dalam mesyuarat Jawatankuasa Pilihan Khas Kewangan Dan Ekonomi di Parlimen pada tahun lalu.
“Melihat pada angka kemasukan pelancong China pada tahun lalu, ia tidak seperti yang diharapkan.
“Kita boleh menggalakkan kemasukan pelancong asing selain dari China.
“Antaranya dari Timur Tengah, Turki dan mungkin juga dari Rusia yang sekarang berdepan dengan sekatan perjalanan.
“Ini masa kita untuk mengambil peluang yang ada dan menjadi lebih agresif. Kita juga mungkin boleh sediakan pakej sektor pelancongan di Malaysia bersesuaian dengan kehendak serta cita rasa pelancong dari negara-negara yang lebih cenderung pada pelancongan keluarga, alam sekitar dan seni warisan,” katanya kepada Majoriti.
BACA LAGI: [VIDEO] Enggan solat berjemaah, 4 senior sekolah pondok 'bantai' junior sampai maut

Kerajaan perlu segerakan kemasukan pelaburan portfolio asing melibatkan peranan aktif GLC, GLIC serta sektor korporat dalam negara.
BACA LAGI: [VIDEO] Kakak tangisi pemergian satu-satunya adik perempuan terlibat nahas 3 kenderaan di Kota Bharu
Beliau berkata demikian sebagai mengulas cadangan dikemukakan Ahli Jawatankuasa Pilihan Parlimen (PSC) mengenai Ekonomi dan Kewangan Parti Keadilan Rakyat (PKR), Lee Chean Chung berhubung pengukuhan semula nilai ringgit.
Chean Chung berkata, antara cadangan tersebut termasuk pemantauan pembelian dolar Amerika Syarikat (AS) lebih ketat oleh pengimport dan menyemak dokumen perdagangan asas serta bukti pengiriman wang yang sah.
Mengulas lanjut, Mohd Syahir berkata, idea PKR lebih bersifat pentadbiran, sedangkan yang diperlukan dalam tempoh terdekat adalah inisiatif untuk meningkatkan daya saing atau permintaan terhadap ringgit di pasaran mata wang antarabangsa.
Ujar Penolong Setiausaha Agung Pas itu lagi, terdapat beberapa langkah yang boleh diambil dalam kadar segera dan agresif oleh pihak kerajaan dan Bank Negara Malaysia (BNM).

Mohd Syahir
“Seperti yang dikatakan Gabenor BNM baru-baru ini, kerajaan perlu segerakan kemasukan pelaburan portfolio asing melibatkan peranan aktif syarikat berkaitan kerajaan (GLC) dan syarikat pelaburan berkaitan kerajaan (GLIC) serta sektor korporat dalam negara.
“Ini yang akan meningkatkan aliran masuk atau permintaan terhadap ringgit berbanding mata wang asing,” katanya.
Sementara itu, Mohd Syahir menjelaskan, dari segi aspek dalaman atau domestik pula, kerajaan perlu meningkatkan persepsi lebih baik terhadap dasar dan polisi negara.
Tegasnya, kerajaan juga tidak boleh mengeluarkan kenyataan yang bercanggah sesama pemimpin negara.
“Ini termasuk mengeluarkan pengumuman separuh masak, ini semua menjejaskan keyakinan pelabur,” ujarnya. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram
