[VIDEO] Polis buru individu curi, angkut pagar rumah guna kereta di Miri


  • 112
  • Sabtu, 02 Mac 2024

Tangkap layar memaparkan suspek mencuri pagar sebuah rumah dekat kawasan perumahan Sealine 1, Lutong, Miri, Sarawak pada Khamis.

PENDUDUK di kawasan perumahan Sealine 1, Lutong, Miri, Sarawak dihantui kebimbangan akibat kegiatan kecurian pagar rumah yang semakin berleluasa ketika ini.

Menerusi satu video yang tular, perbuatan dua individu bertindak mencuri pagar sebuah rumah sebelum meletakkannya di atas sebuah kereta sempat direkodkan menerusi rakaman kamera litar tertutup (CCTV) kediaman berdekatan.

Justeru itu, pihak polis kini giat mengesan suspek yang terlibat dalam kejadian tersebut.

Ketua Polis Daerah Miri, Asisten Komisioner Alexson Naga Chabu berkata, pihaknya menerima satu laporan daripada seorang kontraktor perumahan kira-kira pukul 11.48 pagi pada Khamis berhubung kejadian tersebut.

Menurutnya, pengadu memaklumkan salah satu pagar rumah di kawasan perumahan Sealine 1 dicuri oleh individu tidak dikenali.

BACA LAGI: [VIDEO] Penduduk trauma dengar bunyi 'klepak', wanita maut dipercayai ditolak kekasih dari tingkat 23 kondominium di Setia Alam

BACA LAGI: [VIDEO] Enggan solat berjemaah, 4 senior sekolah pondok 'bantai' junior sampai maut

“Sepasukan anggota daripada Bahagian Siasatan Jenayah (BSJ) Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Miri menjalankan siasatan di tempat kejadian dan rakaman CCTV juga sudah diperolehi.

“Klip berkenaan menunjukkan terdapat dua lelaki mengangkat pagar rumah tersebut dan meletakkannya di atas bumbung kereta berwarna perak,” katanya dalam kenyataan pada Sabtu.

Sehubungan kejadian itu, Alexson memaklumkan, BSJ IPD Miri membuka kertas siasatan dan kes disiasat di bawah Seksyen 379 Kanun Keseksaan.

“Pihak BSJ IPD Miri kini melancarkan Op Kesan bagi mengesan suspek-suspek yang terlibat dalam kejadian ini,” jelasnya.

Beliau dalam pada itu turut menasihatkan orang ramai agar tidak membuat sebarang spekulasi berkenaan kes tersebut kerana ia akan mengganggu siasatan.

“Individu yang mempunyai sebarang maklumat lanjut berkaitan insiden ini diminta untuk tampil ke balai polis yang berdekatan bagi membantu siasatan atau menghubungi Inspektor Norashikin Adin di talian 085-433222 untuk menyalurkan maklumat berkaitan,” tegas beliau. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram