SEORANG lelaki cedera parah selepas motosikal yang ditungganginya merempuh belakang sebuah trak di Jalan Raya Fatahillah, Kecamatan Cikarang Barat, Kabupaten Bekasi, Indonesia.
Dalam kejadian kira-kira pukul 7.43 malam pada Selasa, mangsa yang dikenali sebagai MRW, 23, itu dipercayai mengelamun ketika menunggang motor tersebut.
Ketua Unit Kemalangan Polis Metro Bekasi, Inspektor Carmin memaklumkan, lelaki yang menunggang motosikal jenis Yamaha Nmax itu disyaki hilang fokus selepas dirinya dibuang kerja.
“Mangsa selamat namun mengalami kecederaan parah. Dia segera dibawa ke Hospital Bhakti Husada Kalijaya untuk rawatan lanjut.
"Lelaki berkenaan dikatakan termenung kerana berada dalam senarai PHK (Pemutusan Hubungan Kerja).
"Motosikalnya pula mengalami kerosakan dan sudah pun dibawa ke balai polis untuk siasatan," katanya.
BACA LAGI: [VIDEO] Polis buru individu curi, angkut pagar rumah guna kereta di Miri
Sementara itu, jelas Carmin, dalam kejadian itu, trak yang dirempuh mangsa diparkir di tepi jalan dan menyalakan lampu kecemasan, namun belum dapat dipastikan punca sebenar ia diletakkan di kawasan itu.
Kes kemalangan tersebut sedang disiasat oleh sekumpulan penyiasat Unit Gakkum Unit Trafik Polis Bekasi Metro. — Agensi
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram