[VIDEO] Tak sempat hantar bekalan ayam, pemandu dan kelindan maut di Laluan Gopeng-Simpang Pulai


  • 112
  • Khamis, 07 Mac 2024

Kemalangan di Kilometer 294.8 Lebuhraya Utara Selatan, arah utara, laluan Gopeng ke Simpang Pulai pada Khamis menyebabkan pemandu dan kelindan maut di tempat kejadian.

PEMANDU dan kelindan menemui ajal selepas lori muatan raga ayam yang dinaiki mereka terbabit dalam kemalangan dengan sebuah lagi lori di Kilometer 294.8 Lebuhraya Utara Selatan, arah utara, laluan Gopeng ke Simpang Pulai, Perak pada Khamis.

Paramedik mengesahkan pemandu, Yew Khiang Khoon, 53, dan kelindan Abdul Rahman Mat Desa, 42, meninggal dunia di lokasi kejadian.

Ketua Polis Daerah Kampar, Superintendan Mohamad Nazri Daud memaklumkan, nahas yang berlaku kira-kira pukul 9.10 pagi itu melibatkan sebuah lori muatan raga ayam dan treler muatan batu.

Beliau berkata, siasatan awal mendapati kedua-dua kenderaan tersebut menghala ke arah utara.

"Apabila sampai di lokasi kejadian, didapati lori muatan raga ayam melanggar bahagian belakang treler muatan batu semasa berada di lorong kiri menyebabkan lori mengalami kebakaran tetapi dapat dipadam oleh pihak bomba," katanya dalam kenyataan pada Khamis.

BACA LAGI: [VIDEO] Penduduk trauma dengar bunyi 'klepak', wanita maut dipercayai ditolak kekasih dari tingkat 23 kondominium di Setia Alam

BACA LAGI: [VIDEO] Bomba pesan elak tunjuk skil 'tebar roti canai' ketika pegang stereng

Mohamad Nazri menjelaskan, kemalangan tersebut menyebabkan pemandu dan kelindan tersepit di dalam lori namun berjaya dikeluarkan pihak bomba.

Ujarnya, insiden ngeri itu turut mengakibatkan pemandu treler mengalami kecederaan dan dibawa ambulans ke hospital untuk rawatan susulan.

"Laluan kiri arah utara ditutup untuk kerja-kerja siasatan dan pembersihan menyebabkan berlaku kesesakan kira-kira 10 kilometer," katanya.

Sementara itu. Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Perak, Sayani Saidon berkata, anggota daripada Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Gopeng dikejarkan ke lokasi sebaik menerima panggilan kecemasan.

"Lori muatan raga ayam terbakar anggaran 40 peratus akibat pelanggaran bahagian belakang sebuah lori muatan batu.

"Anggota melaksanakan 'size-up' seterusnya mengaplikasikan konsep SAVER dan RECEO (menyelamat, pendedahan, penyekatan, pemadaman dan pemeriksaan) menggunakan peralatan khas untuk mengeluarkan mangsa yang tersepit" ujarnya. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram