[VIDEO] Bomba pesan elak tunjuk skil 'tebar roti canai' ketika pegang stereng


  • Massa
  • Khamis, 07 Mac 2024

Tindakan segelintir pemandu yang gemar meletakkan tapak tangan di bahagian tengah stereng juga boleh mengundang bahaya kepada dirinya sendiri.

MALANG tidak berbau. Begitu jugalah yang terjadi apabila seseorang individu terbabit dalam kemalangan jalan raya.

Tidak dapat dinafikan, kemalangan memang berada di luar jangkaan manusia.

Namun begitu, pemandu boleh mengurangkan risiko terlibat dalam kemalangan sekiranya mereka mengamalkan pemanduan berhemah merangkumi pengetahuan, kemahiran dan sikap.

Banyak sebenarnya garis panduan yang telah diajarkan di sekolah memandu dahulu, termasuk cara mengendalikan stereng dengan betul.

Berdasarkan satu video yang dimuat naik di laman Facebook Manisfm, seorang anggota bomba berkongsi, pemandu disarankan untuk memegang stereng pada kedudukan jam (10-2) dan (3-9).

BACA LAGI: [VIDEO] Penduduk trauma dengar bunyi 'klepak', wanita maut dipercayai ditolak kekasih dari tingkat 23 kondominium di Setia Alam

BACA LAGI: [VIDEO] Polis buru individu curi, angkut pagar rumah guna kereta di Miri

Beliau berkata, ia bertujuan mengelakkan impak kecederaan lebih serius apabila beg udara dalam sesebuah kenderaan mengembung apabila berlaku insiden tidak diingini.

"Sebab itu kalau belajar memandu, kita pusing stereng kereta (pada kedudukan) 3-9 dan 10-2 kan?

"Kenapa kita tidak digalakkan memandu (seakan-akan menebar) 'roti canai'?

"Sebab (risiko) beg udara, kalau kita amalkan (skil) 'roti canai', nanti apabila berlaku kecemasan, beg udara yang keluar akan melekat di dahi.

"Profesional dan hebat macam mana sekalipun di atas jalan raya, apabila kenderaan kita mempunyai sistem beg udara, memang risiko tinggi," katanya.

Beliau turut menjelaskan, tindakan segelintir pemandu yang gemar meletakkan tapak tangan di bahagian tengah stereng juga boleh mengundang bahaya kepada dirinya sendiri.

Ujarnya lagi, perbuatan itu boleh mengakibatkan beberapa senario kecelakaan termasuklah patah jari.

"Sudah menjadi tabiat pemandu nak pegang macam ini, tapi apabila mereka terlelap, terbabas kemudian langgar pembahagi jalan, beg udara yang keluar akan menyebabkan habis patah jari," ulasnya. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram