PERSATUAN Bola Sepak Malaysia (FAM) pada Jumaat mengumumkan senarai 33 pemain dipanggil ke kem latihan untuk aksi Kelayakan Piala Dunia 2026/Piala Asia 2027 menentang Oman pada Mac.
Berdasarkan senarai berkenaan, beberapa nama boleh dikatakan cukup menarik perhatian meskipun status akhir mereka untuk perlawanan itu masih belum dimuktamadkan.
Antaranya adalah mengenai keputusan ketua jurulatih, Kim Pan-gon yang memanggil beberapa pemain dari skuad Bawah 23 Tahun (B-23) negara.
Dua tonggak Harimau Muda, Harith Haiqal dan Aliff Izwan Yuslan pasti menjadi bualan kerana ia membuktikan pasukan negara akan cuba pendekatan berbeza kali ini.
BACA LAGI: Bergambar bersama Jalur Gemilang, Richard Chin tunggu masa sarung jersi Harimau Malaya
Senarai 33 pemain dipanggil untuk ke kem latihan berpusat menjelang aksi Harimau Malaya penghujung Mac nanti. — Facebook/FAM
Namun, apa yang lebih menarik perhatian adalah mengenai kehadiran bek sayap muda, Zikri Khalili yang sukar meraih minit permainan di peringkat kelab mahupun negara.
Pemain Selangor FC itu kerap memanaskan bangku simpanan musim lalu kerana bekas pengendali, Tan Cheng Hoe lebih gemar menggunakan khidmat Quentin Cheng sebagai pemain pertahanan kanan.
Jadi, tidak hairanlah apabila keputusan Pan-gon itu menjadi bualan hangat dengan orang ramai berharap agar bek itu disisihkan daripada senarai akhir.
"Sudahlah tiada perlawanan persahabatan, pemain dipanggil pun kurang meyakinkan. Zikri tu main jarang di kelab, tapi boleh dipanggil," ujar Hakim Zam.
BACA LAGI: 'Inilah peluang kita', kata-kata TMJ 7 tahun lepas bukti Harimau Malaya di landasan tepat
Zikri kurang diberikan peluang di peringkat kelab dan pasukan muda negara. — Facebook/Selangor FC
"Zikri tu jarang rasanya main dengan Selangor FC. Tapi, harapnya kalau dah beri pendedahan, bolehlah jadi lebih baik selepas ini," kata JH Nan.
"Ramai pemain muda, tetapi ada juga yang kurang bermain dipanggil latihan. Harapnya bolehlah dapatkan rentak dan keserasaian dalam pasukan," kata Yus Karim.
Kem latihan akan bermula pada 8 Mac dengan pemain pasti terus bersemangat untuk meneruskan momentum cemerlang yang dimiliki setakat ini.
Skuad kebangsaan bakal berdepan Oman sebanyak dua kali dengan perlawanan pada 22 Mac akan diadakan di tempat lawan sementara Stadium Nasional Bukit Jalil menjadi venue kedua selang empat hari kemudian.
Harimau Malaya kini berada di tangga teratas Kumpulan D setelah meraih dua kemenangan pertama menentang Taiwan dan Kyrgyzstan. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram