PERLETAKAN jawatan Tan Cheng Hoe sebagai pengendali Selangor FC telah membuatkan ramai terkejut dengan perkara itu.
Dengan bekas jurulatih Malaysia itu pergi melatih Police Tero di Thailand, ia meninggalkan satu persoalan. Siapakah penggantinya di Selangor?
Pihak Selangor mengatakan yang hanya Nidzam Jamil satu-satunya calon tempatan yang berada dalam senarai mereka. Oleh itu, ia memberikan gambaran Selangor sedang mencari pengendali dari luar negara.
Sudah pasti, nama yang akan dibawa adalah berprofil tinggi. Tetapi mereka masih ada perkara yang perlu dicari untuk memastikan Gergasi Merah terus garang memburu piala.
Dalam analisis Majoriti kali ini, kita akan senaraikan tiga ciri yang perlu pengurusan Selangor cari untuk menggantikan tempat Cheng Hoe:
1. Mahir bola sepak Asia
Apabila melibat nama-nama dari luar negara, ia boleh datang dari pelbagai benua seperti Eropah dan Amerika Selatan. Jika Selangor mengambil jurulatih daripada benua tersebut, ia akan menimbulkan risiko.
Hal ini kerana, iklim bola sepak di dua benua tersebut tidak sama seperti Asia. Oleh itu, Selangor perlu mencari pengendali yang mahir dengan bola sepak Asia.
Jurulatih itu tidak semestinya orang Asia tetapi mahir dengan iklim bola sepak benua itu. Lebih-lebih lagi, jurulatih itu haruslah mahir dalam mengendalikan kelab yang beraksi dalam kejohanan tertinggi Asia.
Jika pengendali yang diambil tidak biasa dengan intensiti bola sepak Asia di peringkat tertinggi, ia mendedahkan Selangor kepada permasalahan kurang kompetitif apabila bermain dalam Liga Juara-Juara AFC (ACL 2).
BACA LAGI: 'Terima kasih doakan saya', TCH tinggalkan pesanan ringkas buat fans Selangor
Cheng Hoe ada pengalaman luas di Asia ketika bersama Harimau Malaya. — Agensi
2. DNA tidak jauh dengan Cheng Hoe
Satu perkara yang Selangor perlu pastikan adalah pengendali seterusnya tidak mempunyai DNA atau falsafah bola sepak yang terlalu menyimpang daripada Tan Cheng Hoe.
Perlu diakui, Cheng Hoe telah menstabilkan kapal, jadi pengendali seterusnya haruslah meneruskan falsafah yang dibawa olehnya supaya rentak Selangor tidak goyah pada musim baharu.
Selangor perlu mengelak daripada mendapatkan pengendali yang mempunyai falsafah bola sepak yang terlalu jauh dengan Cheng Hoe. Sebaiknya, mereka dapatkan pengendali yang boleh tambah baik kualiti persembahan Selangor sekarang.
Yang pasti tugas pengendali baharu tidak mudah. Pengendali tersebut perlu pastikan momentum Selangor tidak jatuh dan kecemerlangan dapat diteruskan oleh para pemain.
BACA LAGI: Tindakan TCH tinggalkan Selangor ibarat dejavu pernah menimpa Kedah sebelum ini
Cheng Hoe mempunyai falsafah permainan hantaran pendek (short pass). — MFL
3. Cepat sesuaikan diri
Perkara paling penting untuk pengendali baharu Selangor adalah dia perlulah cepat menyesuaikan diri dengan suasana dan tugasannya dengan kelab.
Apa yang pasti, pengurusan perlu mengelak mendapatkan pengendali yang mahu melakukan reset terhadap skuad sedia ada. Dengan penglibatan dalam kejohanan Asia, musim ini tidak sesuai untuk Selangor berbuat demikian.
Sebaliknya, pengendali yang hadir perlu cepat menyesuaikan diri dengan skuad sedia ada. Dengan para pemain lama dan baharu yang sudah direkrut, pengendali perlu gunakan apa yang ada untuk hasilkan skuad cemerlang.
Tugas ini pastinya tak mudah. Oleh itu, Selangor perlu melantik nama yang betul-betul layak untuk melakukan tugas sukar ini. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram