Tindakan TCH tinggalkan Selangor ibarat dejavu pernah menimpa Kedah sebelum ini


  • Podium
  • Jumaat, 01 Mac 2024

Tan Cheng Hoe (tengah) dijulang oleh pemain Kedah selepas memenangi Piala Malaysia 2016. — Agensi

PEMERGIAN Tan Cheng Hoe dari skuad Selangor FC sebelum bermulanya musim Liga Super 2024/2025 telah mengejutkan ramai pihak terutamanya penyokong Gergasi Merah.

Dengan tempatnya kini dikosongkan secara tiba-tiba membuatkan Selangor mempunyai cabaran besar untuk mencari pengganti yang sesuai bagi membawa kelab itu beraksi mencabar kejuaraan tempatan dan Asia.

Namun begitu, itu bukanlah kali pertama Cheng Hoe berbuat demikian. Apa yang berlaku kepada Selangor ibarat dejavu yang pernah menimpa Kedah Darul Aman FC pada 2017.

Pada ketika itu, skuad Sang Kenari yang sedang berada di puncak prestasi hasil air tangan Cheng Hoe tiba-tiba saja memilih untuk meninggalkan kelab tersebut.

Ketika itu, Cheng Hoe ditawarkan jawatan sebagai pembantu jurulatih skuad kebangsaan yang diuruskan oleh Nelo Vingada oleh Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM).

BACA LAGI: Naik pangkat ke skuad utama, 'ubi' kental TFC mahu balas kepercayaan Tomislav Steinbruckner

1747829

Cheng Hoe menjadi pembantu kepada Nelo Vingada di skuad kebangsaan. — Facebook/FAM

Perkara tersebut nyata menimbulkan rasa tidak senang pihak Kedah. Lantas, Presiden Persatuan Bolasepak Kedah (KFA), Datuk Seri Ahmad Bashah Md Hanipah mengeluarkan kenyataan meminta Cheng Hoe menujukkan terlebih dahulu surat tawaran oleh FAM. Sebagai rekod, Cheng Hoe terlebih dahulu menghantar surat letak jawatan kepada pengurusan Kedah.

"Berkenaan isu jurulatih Tan Cheng Hoe yang mendapat liputan meluas di media cetak, media elektronik dan media sosial, KFA menyatakan telah menerima notis penamatan kontrak sebelah pihak dari Tan Cheng Hoe pada 1 April lepas dan telah meneliti kandungan surat berkenaan.

"Pengurusan tertinggi KFA meminta Tan Cheng Hoe mengemukakan surat tawaran rasmi dari FAM mengenai perlantikan beliau sebagai penolong jurulatih pasukan kebangsaan, selagi tiada tawaran rasmi dan pengesahan dari pihak FAM, KFA tidak membuat apa-apa keputusan mengenai kedudukan ketua jurulatih Tan Cheng Hoe dalam masa terdekat.

"Secara status quo, Tan Cheng Hoe kekal sebagai ketua jurulatih pasukan Kedah kerana beliau masih terikat dengan kontrak perkhidmatan bersama KFA," kata Ahmad Bashah ketika itu.

BACA LAGI: 'Terima kasih doakan saya', TCH tinggalkan pesanan ringkas buat fans Selangor

Selepas kenyataan itu, Cheng Hoe kemudiannya meninggalkan Kedah dan menyertai barisan kejurulatihan Harimau Malaya sebagai pembantu jurulatih.

Melangkah ke hari ini, perkara yang dilakukan Cheng Hoe itu adalah serupa seperti pada 2017. Ketika Selangor sedang berada dalam keadaan stabil dan mampu mencabar kejuaraan, dia memilih untuk meletakkan jawatan dan meninggalkan kelab.

Kini, Cheng Hoe berkhidmat sebagai pengendali untuk kelab Thailand iaitu Police Tero dalam misi menyelamatkan mereka daripada tersingkir ke divisyen bawahan negara tersebut.

Sementara Selangor pula perlu mencari jurulatih berkaliber untuk memastikan Gergasi Merah tidak goyah dek apa yang berlaku terhadap mereka pada awal musim ini.

Antara nama besar yang dikaitkan bakal menggantikan Cheng Hoe di Selangor termasuklah bekas jurulatih Vietnam dari Korea Selatan, Park Hang-seo. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram