PERTAHANAN muda Terengganu FC, Ubaidullah Shamsul berharap dia dapat membalas semula kepercayaan yang diberikan oleh pengendali Tomislav Steinbruckner pada musim ini.
Selepas tampil cemerlang bersama Terengganu FC II (TFC II) dalam saingan Piala MFL musim lalu, peranan Ubaidullah kini lebih besar apabila secara rasmi diserapkan dalam skuad Liga Super kelab tersebut.
Bercakap kepada Malaysian Football League (MFL), Ubaidullah mengatakan yang dia amat berterima kasih kepada pihak kelab yang sentiasa percaya akan kebolehannya.
"Terima kasih kepada pihak pengurusan dan juga ketua jurulatih atas kepercayaan ini dan pencapaian tahun lepas akan jadi batu loncatan kepada saya di sini.
"Sudah tentu saingan di skuad utama lebih tinggi dengan kehadiran pemain import baharu juga tetapi bagi saya setiap peluang itu akan ada jika kita berlatih bersungguh-sungguh," ujar Ubaidullah.
BACA LAGI: Dapat bajet tertinggi RTG, badminton kekal sukan harapan buru emas Olimpik
Ubaidullah berharap dapat meneruskan prestasi cemerlangnya pada musim baharu. — Facebook/Terengganu FC
BACA LAGI: Gandingan Nafuzi Zain, Nidzam Jamil jadi pilihan Selangor musim depan?
Menurut pertahanan skuad Harimau Muda itu lagi, penglibatannya dalam Piala MFL banyak membentuk kualitinya sebagai pemain. Katanya, dengan jumlah minit diperoleh dalam kejohanan tersebut telah mematangkan permainannya.
Sebagai rekod, persembahan cemerlangnya Ubaidullah bersama TFC II berjaya membuatkan mereka muncul juara sulung Piala MFL menewaskan Johor Darul Ta'zim II (JDT II) pada perlawanan akhir.
"Bagi saya kewujudan Piala MFL musim lepas adalah cadangan yang baik untuk liga kita dan telah beri banyak peluang kepada pemain-pemain muda untuk melonjak naik.
"Ini adalah satu punca juga saya dapat naik ke skuad utama selain atas usaha diri sendiri dan secara tidak langsung Piala MFL ini beri saya minit bermain yang banyak," katanya.
Ubaidullah antara pemain yang raih pujian ramai musim lalu kerana gandingannya bersama-sama Safwan Mazlan, Azam Azmi, Alif Zakaria dan Shahrul Nizam berjaya membantu menguatkan pertahanan Terengganu.
Baru berusia 21 tahun, dia mempunyai masa depan yang luas untuk menjadi pemain pertahanan yang cemerlang buat Malaysia. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram