Gandingan Nafuzi Zain, Nidzam Jamil jadi pilihan Selangor musim depan?


  • Podium
  • Khamis, 29 Feb 2024

Nidzam (kiri) dan Nafuzi ketika dalam kelas kejurulatihan anjuran FAM beberapa tahun lalu.

SATU kekosongan cukup besar perlu diisi Selangor FC selepas pengendalinya, Tan Cheng Hoe sah menamatkan kontraknya secara serta-merta pada Rabu.

Dia yang membawa pasukan itu ke perlawanan akhir Piala Malaysia 2022 dan naib juara Liga Super 2023 boleh dikatakan antara jurulatih terbaik mereka beberapa tahun kebelakangan ini.

Bagaimanapun, isu dalaman menyaksikan pengendali berusia 55 tahun tersebut tidak lagi bersama skuad Gergasi Merah dengan kelab Thailand difahamkan merupakan destinasi baharu buatnya.

Melihat kepada cadangan penyokong, nama-nama besar seperti Bojan Hodak dan Mano Polking merupakan calon terbaik memandangkan pasukan itu bakal beraksi di pentas Asia.

Namun, pihak pengurusan pasukan Lembah Klang berkenaan seperti sudah mempunyai sasaran tersendiri sebagai pengganti Cheng Hoe selepas ini.

1545127

Nafuzi membuktikan sentuhannya sebagai antara jurulatih muda terbaik ketika ini. Facebook/Terengganu FC

Berdasarkan satu ciapan berbentuk kiasan daripada wartawan ternama, Zulhelmi Zainal Azam, terdapat kemungkinan Selangor FC bakal mendapatkan khidmat Nafuzi Zain.

Hantaran yang berserta kapsyen ringkas 'NZ NJ' itu memaparkan pengendali Kedah Darul Aman (KDA) FC tersebut bersama jurulatih interim skuad Gergasi Merah, Nidzam Jamil.

Meskipun tidak memberi sebarang penjelasan, ia seakan-akan menjadi bayangan bahawa kedua-dua mereka akan berganding di Selangor FC musim depan.

Kemelut kewangan dialami skuad Sang Kenari merupakan faktor di sebalik khabar angin itu, lebih-lebih lagi dengan masa depan mereka dalam Liga Super 2024/25 masih belum dimuktamadkan.

Selain itu, kejayaan Nafuzi sepanjang karier kejurulatihannya menjadikannya calon terbaik untuk mengendalikan naib juara Liga Super 2023 berkenaan.

Hubungan rapatnya dengan bintang Selangor FC, Faisal Halim turut membuatkan ramai pihak mengalu-alukan kehadiran pengendali terbabit.

Tetapi, ketiadaan pengalaman di pentas Asia membuatkan segelintir pihak sedikit sangsi akan kehadiran Nafuzi untuk merekodkan kejayaan bersama mereka musim depan. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram