Media Thailand terkejut, ramal Cheng Hoe bergelut andai sertai Police Tero


  • Podium
  • Khamis, 29 Feb 2024

Cheng Hoe bakal melebarkan sayapnya ke Liga Thailand selepas membawa skuad Gergasi Merah muncul naib juara Liga Super musim lalu. — Facebook/Selangor FC

PENGUMUMAN mengejut mengenai keputusan Tan Cheng Hoe melepaskan jawatannya sebagai pengendali Selangor FC pada Rabu terus menjadi bahan mulut peminat bola sepak.

Jurulatih itu menjadi figura popular dalam pasukan itu setelah membawa mereka ke saingan Liga Juara-Juara AFC (ACL) 2 musim depan.

Namun, berikutan perbincangan dalam dibuat antaranya dengan kelab, Cheng Hoe akhirnya memilih untuk membawa haluan tersendiri selepas ini.

Berdasarkan kenyataan dikeluarkan, anak jati Kedah tersebut akan meneruskan kariernya dalam bidang kejurulatihan di Thailand dengan destinasi baharunya tidak didedahkan.

Perkhabaran berkenaan sekali gus membuatkan orang ramai teruja memandangkan ia menjadi bukti bahawa mutu jurulatih tempatan mula dipandang negara jiran.

Bagaimanapun, persepsi itu mula berubah apabila laporan menyebut Cheng Hoe bakal menyertai pasukan bergelut dalam Liga Thailand, Police Tero.

BACA LAGI: Lepas Nafuzi, nama Tan Cheng Hoe pula dipetik bakal tinggalkan kelab

429492122_905633341568395_4348381975385294637_n

Cheng Hoe meninggalkan skuad Gergasi Merah selepas membimbing mereka selama satu tahun setengah. — Facebook/Selangor FC

Mereka yang kini berada di kedudukan ke-14 daripada 16 pasukan selepas 19 perlawanan memerlukan seorang pengendali tetap selepas Rangsan Viwatchaichok meninggalkan jawatan itu pada November tahun lalu.

Khabar angin tersebut menimbulkan teka-teki kerana jurulatih berusia 55 tahun terbabit memilih untuk membimbing kelab bergelut berbanding cuba membuktikan kebolehannya di pentas Asia musim depan.

Malah, ia turut menarik perhatian media tidak rasmi di Thailand yang sedikit terkejut sekiranya Cheng Hoe disahkan membimbing Police Tero.

"Cheng Hoe akan berdepan satu tugasan berat. Kelab itu berdepan isu gaji yang hebat baru-baru ini yang menyebabkan pemain utama mereka meninggalkan pasukan, namun ia sudah semakin pulih kebelakangan ini.

"Mereka tidak meraih sebarang kemenangan memasuki pusingan kedua liga. Lagi pun, Cheng Hoe masih baru dalam liga serta pemain Thailand, sekali gus membuatkannya lebih mencabar," tulis All Things Thai Football di laman X.

Majoriti pada Rabu mendedahkan salah satu faktor bekas pengendali Harimau Malaya tersebut mengambil keputusan itu adalah berikutan isu perpindahan pemain.

BACA LAGI: Kejutan tak masuk akal, Tan Cheng Hoe sah tinggalkan Selangor FC

WhatsApp Image 2024-02-29 at 10.03.33

Police Tero kini berada di tangga ke-14 Liga Thailand selepas 19 perlawanan. Facebook/Police Tero FC

Namun, perkara berkenaan masih belum didedahkan dengan Cheng Hoe kini sudah tidak lagi memiliki sebarang hubungan rasmi bersama skuad Gergasi Merah.

Mereka difahamkan sedang dalam usaha mencari pengganti berkaliber dengan pengendali Kedah Darul Aman (KDA) FC, Nafuzi Zain disebut sebagai salah seorang calon.

Dalam pada itu, pengguna laman media sosial berkenaan turut berasakan terdapat pasukan lain di Liga Thailand yang lebih sesuai disertai Cheng Hoe berdasarkan profil kejurulatihannya.

"Chonburi FC dan Muangthong United cukup baik buatnya dengan lambakan bakat muda yang kurang berpengalaman dalam pasukan itu.

"Tetapi, saya perlu mendapatkan pengesahan daripada media Malaysia terlebih dahulu mengenai khabar anginnya ke Police Tero kerana tiada pihak di Thailand tahu mengenainya," tambahnya lagi. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram