Status Selangor mungkin sebab Penang tak dapat pinjam Khuzaimi Piee


  • Podium
  • Sabtu, 24 Feb 2024

Khuzaimi akan kekal bersama skuad Gergasi Merah selepas rundingan dengan Penang FC tidak menemui jalan penyelesaian. — Facebook/Selangor FC

KARIER bek tengah negara, Ahmad Khuzaimi Piee bersama Selangor FC tidak berjalan seperti mana diharapkan selepas pemain itu bergelut dengan isu kecederaan.

Dia yang mencipta nama bersama Negeri Sembilan FC pada 2022 memilih untuk menyertai kelab Lembah Klang berkenaan dengan harapan ia dapat menaikkan lagi reputasinya.

Namun, setelah meluangkan tempoh semusim bersama pasukan itu, Khuzaimi seakan-akan tidak dapat mengambil peluang melonjakkan lagi reputasinya.

Jadi, dalam usaha meraih minit permainan lebih kerap, pertahanan berusia 30 tahun berkenaan dilaporkan bersedia mencari pasukan baharu pada jendela perpindahan kali ini.

Pemerhatian di media sosial mengatakan pemain yang turut dikenali dengan gelaran Jimmy itu dikhabarkan bakal menyertai Penang FC secara pinjaman.

BACA LAGI: Selangor ‘provide’ ilmu Eropah untuk jurulatih 'ubi muda'

1854440

Khuzaimi berada di tahap terbaik ketika bersama skuad Jang. Facebook/Negeri Sembilan FC

Namun, dalam perkembangan baharu, rundingan antara kedua-dua kelab Liga Super tersebut difahamkan gagal menemui kata putus berdasarkan satu ciapan wartawan tempatan, Zulhelmi Zainal Azam.

"Rundingan Penang dengan Selangor untuk pinjaman Khuzaimi Piee difahamkan gagal, pertahanan Harimau Malaya itu kekal bersama Red Giants setakat ini," tulisnya.

Untuk rekod, pemain kelahiran Melaka terbabit hanya merekodkan 11 penampilan Liga Super musim lalu dengan hanya enam daripadanya menyaksikannya berada dalam kesebelasan utama.

Catatan itu menyaksikannya kian dilupakan penyokong Selangor FC dengan lambakan pilihan, termasuk 'ubi muda' semakin menyukarkan peluangnya dalam pasukan musim depan.

Namun, ciapan Zulhelmi itu menyaksikan sebahagian peminat setia pasukan mampu menarik nafas lega memandangkan pasukan kendalian Tan Cheng Hoe tersebut bakal berentap di pentas Asia musim depan.

BACA LAGI: Cara JDT ke Selangor? MFL mesti pilih benarkan 'gentlemen's agreement' atau sebaliknya

1871376

Kehadiran Khuzaimi pada 2023 membuatkan rata-rata penyokong Selangor FC cukup teruja. Facebook/Selangor FC

"Come on Selangor, main di Asia tahun ni. Takkan lah senang-senang sahaja anda mahu lepaskan Jimmy ke pasukan yang tidak beraksi di pentas Asia," kata Res.

"Walaupun dia tidak bermain dengan kerap, aku harap dia kekal. Boleh main sebagai bek kiri dan bek tengah, penting buat pasukan nanti," kongsi Jon Halim.

"Kalau ada pengganti, tidak mengapalah. Tetapi, sekiranya Khuzaimi pindah dan tiada sesiapa untuk menggantikannya, aku risau dengan barisan pertahanan," kata Tam Pali.

Kecemerlangan pemain pertahanan tengah, seperti Safuwan Baharudin dan Sharul Nazeem Zulpakar menyaksikan Cheng Hoe terpaksa meletakkan Khuzaimi di posisi berbeza musim lalu.

Namun, dia dilihat cukup bersedia dalam memikul peranan berkenaan sehingga membolehkannya menyisihkan pemain pertahanan kiri muda, V Ruventhiran.

Selangor FC bakal berentap dalam saingan Liga Juara-Juara AFC (ACL) 2 musim depan setelah menamatkan saingan Liga Super 2023 di tangga kedua. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram