Raih 2 emas di ACC 2024, Nurul Izzah disebut bakal sehebat Datuk Azizulhasni


  • Podium
  • Selasa, 27 Feb 2024

Nurul Izzah Izzati meraih dua pingat emas di ACC 2024. — FAIHAN GHANI/The Star

MASA depan dalam acara berbasikal trek dilihat cerah apabila Malaysia dilihat mempunyai permata baharu yang boleh terus menjulang nama negara.

Selepas kita sering mengecapi kejayaan hasil kayuhan bertenaga Datuk Azizuhasni Awang, Malaysia kini mempunyai Nurul Izzah Izzati Mohd Asri yang mencipta tumpuan dalam Kejohanan Trek Berbasikal Asia (ACC) 2024 di New Delhi, India.

Dalam kejohanan elit tersebut, Nurul Izzah mencipta sensasi apabila berjaya meraih dua emas untuk membantu Malaysia cemerlang mengutip pingat.

Emas pertama muncul buat Nurul Izzah apabila dia memenangi acara keirin. Lebih signifikan, pelumba muda itu menamatkan kemarau 12 tahun Malaysia tanpa kemenangan dalam acara tersebut bagi acara wanita.

BACA LAGI: Taktikal ‘roadblock’ antara 3 perubahan kem skuad Jang jika berjaya sambar ‘The Giant Killer’

2562792

Nurul Izzah begitu cemerlang di ACC 2024. — Agensi

BACA LAGI: [VIDEO] Bintang bola keranjang AS bersuara lelaki muncul lagi, jawab persoalan netizen

Kini, Nurul Izzah berjaya mendapatkan emas kedua selepas dia memenangi acara 500 meter akhir dengan menewaskan pelumba Korea Selatan, Hwang Hyeon-seo dan wakil China iaitu Luo Shuyan.

Nurul Izzah mencatatkan catatan masa 34.388 saat untuk memastikan emas kedua miliknya berada dalam genggaman sekali gus membolehkan bendera Jalur Gemilang terus berkibar di bumi India.

Di Malaysia, berita gembira itu nyata disambut baik oleh pengikut sukan negara. Ramai yang gembira dengan kejayaan yang dilakar Nurul Izzah dengan berharap bakatnya akan terus digilap supaya terus menjadi atlet cemerlang negara.

"Jaga betul-betul dia ni, beri latihan yang secukupnya supaya boleh menjadi jaguh dunia dalam beberapa tahun lagi," kata pengikut sukan bernama Azmi Mat Nasir.

"Pergh mantaplah, boleh pergi jauh macam Datuk Azizulhasni," ujar Rul Zie pula.

"Tahniah. Jurulatih dan pengurus kena jaga dan pantau (Nurul Izzah) betul-betul supaya tiada campur tangan," komen Ms Flex Daisy.

Melihat kepada kejayaan ini, ramai yang mula memberikan gelaran The Pocket-Rocket Woman kepada Nurul Izzah dengan harapan dia mampu menjadi pelumba basikal trek yang ulung seperti Azizulhasni.

Jika berjaya dijaga dengan baik, tidak mustahil untuk Nurul Izzah boleh menjadi atlet taraf Sukan Olimpik dan membawa pulang pingat di temasya tersebut. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram