Terima undian 85 peratus, gol Faisal diiktiraf GOTT Piala Asia 2023


  • Podium
  • Isnin, 26 Feb 2024

Faisal (kanan) meraikan jaringannya menentang Korea Selatan. — FAM

SEJARAH tercipta buat pemain skuad Harimau Malaya, Faisal Halim apabila namanya telah dipilih sebagai pemenang bagi anugerah gol terbaik kejohanan (GOTT) Piala Asia 2023.

Pemain sayap Selangor FC itu memperoleh anugerah tersebut selepas menerima undian tertingggi dalam kalangan penyokong dengan jaringannya menewaskan beberapa nama seperti pemain Qatar, Hassan Al Haydos, bintang Jepun Keito Nakamura serta ketua pasukan Korea Selatan iaitu Son Heung-min.

Dalam undian yang dilakukan di laman sesawang Konfederasi Bola Sepak Asia (AFC), jaringan Faisal ketika bertemu Korea Selatan dalam aksi terakhir kumpulan E berjaya memperoleh sebanyak 85 peratus.

Untuk rekod, jumlah tersebut merupakan begitu jauh meninggalkan jaringan-jaringan lain walaupun Faisal tidak dianggap sebagai bintang utama bola sepak Asia berbanding Son dan Al-Haydos serta Sardar Azmoun yang turut memasuki carta pencalonan.

BACA LAGI: Pakai jersi MU, ‘ubi muda’ Selangor dikecam tak hormat kelab sendiri

BACA LAGI: Ubi muda Selangor, import Jepun dalam 'senarai bocor' 10 pemain ke skuad Jang musim depan

Namun begitu, kuasa penyokong Harimau Malaya yang setia menyokong pasukan berjaya membantu Faisal memenangi anugerah tersebut dengan meraih undian tertinggi.

Dalam aksi bertemu Korea Selatan itu, jaringan Faisal terhasil pada separuh masa kedua dengan pemain sayap itu berjaya membuatkan pertahanan Bayern Munich, Kim Min-jae terduduk lalu membuka ruang untuk dia melakukan penyudah.

Walaupun ruang sudah pun semakin mengecil, tetapi Faisal masih mampu menjumpai pintu gol apabila sungkitan rendahnya berjaya menolak bola melepasi pintu gawang Korea Selatan.

Jaringan tersebut menjadi titik tolak kebangkitan Malaysia sebelum Arif Aiman menyempurnakan sepakan penalti untuk meletakkan Harimau Malaya di depan untuk seketika.

Sebagai rekod, Faisal memperoleh dua pengiktirafan di Piala Asia 2023 apabila sebelum ini namanya terselit dalam kesebelasan terbaik pada aksi terakhir peringkat kumpulan.

Boleh dikatakan yang pemain itu mempunyai kempen yang baik secara individu walaupun tidak berhasil memberikan Malaysia kemenangan serta membawa Harimau Malaya ke pusingan kalah mati seperti diharapkan ramai penyokong. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram