'Bukan 4 tapi cuma 2 bulan gaji tertunggak' — Khalid Samad


  • Podium
  • Jumaat, 23 Feb 2024

Khalid Samad mengakui KL City FC mengalami masalah tunggakan gaji. — KLFA

KEMELUT yang dihadapi oleh Kuala Lumpur City FC (KL City) dalam urusan pembayaran gaji mereka kini memasuki babak baharu.

Setelah sekian lama menyepi mengenai isu tunggakan gaji, pihak pengurusan kelab telah tampil ke depan untuk menjelaskan keadaan yang berlaku.

Menurut Presiden Persatuan Bolasepak Kuala Lumpur (KLFA), Datuk Khalid Samad, isu tunggakan gaji sebenarnya bukanlah empat bulan seperti yang didakwa pemain.

"Sebenarnya bukan empat bulan, tetapi dua bulan saja yang tertunggak," kata Khalid.

"Tunggakan gaji tersebut adalah untuk bulan Oktober dan November yang merupakan dua bulan terakhir dalam musim Liga Super 2023.

BACA LAGI: Safawi mula tunjuk taring tapi kehilangan penyerang import jadi tanda tanya

410776259_18246040792237328_9132363900244650038_n

Pemain Kuala Lumpur City mendakwa mereka tidak dibayar gaji selamat empat bulan. — Kuala Lumpur City FC

BACA LAGI: Lepas beraksi di Piala Asia, Junior Eldstal kini kembali ke padang latihan JDT

Khalid mendedahkan yang anggapan gaji tertunggak selama empat bulan adalah kerana musim Liga Super 2023 berakhir lewat dari kebiasaan. Sebagai rekod, musim 2023 berakhir pada bulan Disember.

"Kontrak para pemain semuanya berakhir pada 30 November 2023. Apabila liga dianjakkan hingga ia berakhir pada bulan Disember, maka timbul isu berkenaan pembayaran gaji untuk bulan tersebut.

"Akan tetapi, perkara itu telah dibincang oleh pihak kelab dengan para pemain untuk memastikan ia dapat diselesaikan," ujar Khalid.

Menurut Khalid lagi, pihaknya menantikan kemasukan wang untuk membolehkan KL City menyelesaikan permasalahan gaji sekali gus menutup cerita musim 2023.

Khalid mengatakan yang pembayaran tersebut bukan saja untuk para pemain tetapi buat pegawai pasukan yang terdiri daripada skuad Liga Super, Piala MFL, Piala Presiden dan Piala Belia.

Dalam masa yang sama, Khalid mengatakan pemilikan kelab Liga M3 iaitu Kuala Lumpur Rovers (KL Rovers) telah pun bertukar tangan.

Khalid mengatakan dengan bertukarnya pemilikan kelab tersebut membolehkan KL Rovers untuk bersaing dalam Liga Super 2024/2025 dengan mengisi slot khas yang ditawarkan oleh Malaysian Football League (MFL).

Dia juga mengatakan hasil daripada penjualan kelab tersebut akan membolehkan bayaran gaji tertunggak yang dialami para pemain dan pegawai kelab tersebut dapat dilunaskan. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram