Dilabel 'low class', Bobie perjelas jersi baharu Perak dibuat hasil pandangan fans TBG


  • Podium
  • Sabtu, 24 Feb 2024

Bobie (kiri) menjawab persoalan mengenai mutu dan harga rendah ditawarkan buat jersi 'Fan Issue' skuad TBG. — Facebook/Perak FC

MAJLIS pengenalan jersi baharu Perak FC pada 17 Februari lalu membuatkan ramai penyokong pasukan itu hadir dalam acara diadakan di Ipoh, Perak.

Selain berpeluang melihat rekaan terbaru pasukan, orang ramai juga berkesempatan membeli barangan keluaran kelab untuk membuktikan sokong masing-masing.

Namun, hal lain pula berlaku apabila segelintir pihak menyuarakan rasa tidak puas hati mereka terhadap mutu produk pasukan Utara tanah air itu.

Antara isu ditekankan di media sosial adalah mengenai perbezaan ketara kualiti jersi 'Player Issue' dan 'Fan Issue' dari segi warna dan tahap kekemasan barangan.

Luahan berkenaan dikhuatiri akan membuatkan lebih ramai penyokong tidak berminat untuk mendapatkan barangan keluaran kelab, sekali gus menjejaskan pendapatan mereka.

BACA LAGI: Siap 'follow' IG Perak petanda Haziq Nadzli sudah semakin hampir sertai TBG

428598245_407130838533964_3817791360033212704_n

Majlis pelancaran jersi baharu skuad TBG menerima sambutan amat menggalakkan. Facebook/Perak FC

Bagaimanapun, tampil menjelaskan perkara tersebut ialah Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Perak FC yang menyatakan barangan bagi musim 2024/25 dibuat berdasarkan pandangan khalayak musim lalu.

"Ada juga yang cakap low class jersi 'Fan Issue' Perak FC tahun ini. Harga pun RM39, tahap-tahap tepi jalan punya harga. Namun, sehingga kini, keluaran pertama jersi ini sudah hampir habis dijual dan permintaan semakin tinggi.

"Betul, margin keuntungan untuk pasukan sangat kecil. Namun, saya terpanggil dengan permintaan fan perak tahun lalu yang memberi cadangan agar Perak FC mengeluarkan jersi dengan harga marhaen sesuai dengan keadaan ekonomi mencabar ketika ini," tulisnya menerusi akaun Facebook TBG Super Fan.

Perak FC menjadi pasukan terawal dalam Liga Super yang mengumumkan jersi baharu dengan rata-rata penyokong dilihat sudah mendapatkan produk itu setakat ini.

Jualan laris tersebut pasti memberi suntikan semangat buat skuad The Bos Gaurus (TBG) yang pasti bercita-cita besar bagi saingan musim depan setelah hanya berada di kedudukan ke-11 Liga Super 2023.

BACA LAGI: Hero Piala Malaysia 2018 Terengganu antara disebut sertai skuad TBG tak lama lagi

409035698_408770021703379_4936174523787688592_n

Perbezaan harga besar antara jersi 'Fans Issue' dan 'Player Issue' skuad TBG untuk musim depan. Facebook/Perak FC

Perkongsian Bobie itu turut meraih sokongan orang ramai yang mengharapkan agar CEO Perak FC tersebut tidak mudah kecewa dengan cemuhan diterimanya di media sosial.

"OK dah harga tu tuan. Apabila harga mampu milik seperti ini, penyokong yang mahu beli kualiti 'copy ori' pun fikir dua kali. Lebih baik beli yang rasmi dan duit terus dimiliki kelab," kata Mohd Faiz Hakimi.

"Satu pendekatan yang baik. Tidak ada alasan untuk penyokong Perak FC untuk tidak dapatkan jersi original. Buat apa beli yang ciplak kalau yang original harganya murah melambak," komen Zulfikar Mohd Khawari.

"Terbaik bos Bobie faham situasi penyokong dalam keadaan zaman kami ekonomi yang tidak stabil. Semoga Perak FC tahun ni lebih sukses berbanding tahun lepas," kata Zulkefly Hassan.

Orang ramai turut berpeluang mendapatkan jersi 'Player Issue' skuad TBG musim depan yang dijual pada harga RM159 dengan kualiti lebih baik ditawarkan. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram