DALAM misi menambah baik kualiti skuad untuk musim depan, Perak FC memilih melepaskan hampir keseluruhan pemain untuk memberi ruang kepada nama-nama baharu yang akan dibawa masuk.
Antara yang dilepaskan pasukan Utara tanah air tersebut ialah dua ubi muda mereka, T Shaheeshwaran dan Azeem Farhan dengan kedua-dua mereka beraksi sebagai penjaga gol.
Situasi tersebut menyaksikan skuad The Bos Gaurus (TBG) perlu mendapatkan seseorang yang berkualiti di posisi berkenaan untuk memastikan gawang gol mereka tidak mudah dibolosi musim depan.
Berdasarkan khabar angin semasa, pasukan di tangga ke-11 Liga Super 2023 itu dilaporkan berminat untuk mendapatkan pemain Johor Darul Ta'zim (JDT), Haziq Nadzli pada jendela perpindahan kali ini.
Penjaga gol yang jarang mendapatkan peluang bersama skuad senior itu sebelum ini difahamkan bakal meninggalkan skuad Harimau Selatan dengan status pinjaman.
Keputusan Haziq untuk mengikuti laman Instagram rasmi Perak FC menimbulkan spekulasi.
Bagaimanapun, sehingga kini, masih tiada perkembangan baharu mengenai langkah Perak FC dalam usaha pasukan membawa masuk pemain berusia 25 tahun berkenaan.
Namun, dalam satu perkembangan baharu, harapan skuad TBG untuk mendapatkan Haziq seakan-akan hampir termakbul apabila pemain tersebut sudah mengikuti Instagram rasmi pasukan.
Baca Lagi: Solari, Leandro antara yang tinggalkan JDT
Berdasarkan senarai di laman media sosial pemain itu, dia hanya mengikuti Perak FC dan JDT, sekali gus menghangatkan khabar angin antaranya dengan skuad TBG.
Ketika ini, pasukan kendalian Yusri Che Lah tersebut hanya memiliki Bryan See dan Farhan Majid sebagai penjaga gol dengan minit permainan dalam Liga Super.
Bagaimanapun, masing-masing masih belum boleh dikategorikan sebagai pilihan utama dalam posisi berkenaan dengan prestasi benteng pertahanan Perak FC musim lalu tidak berada dalam keadaan terbaik.
Untuk rekod, pasukan tersebut memegang rekod pertahanan ketiga terburuk dalam liga apabila melepaskan sejumlah 55 gol dalam 26 perlawanan. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram