Melaka bakal ada floating market, ramai 'pangkah' tak sama macam Thailand


  • Massa
  • Khamis, 22 Feb 2024

Projek pasar terapung yang bakal dijalankan di Sungai Melaka menerima pelbagai bantahan daripada orang ramai. — Twitter/@_AmranFans

HAMPIR dua bulan memasuki tahun baharu, pelbagai penambahbaikan dan kemajuan dilakukan dalam pelbagai aspek termasuk pelancongan di negara ini termasuk di negeri Melaka.

Melaka yang terkenal dengan gelaran Bandaraya Bersejarah sememangnya menjadi antara destinasi tumpuan ramai tidak kira warga tempatan mahupun pelancong asing.

Terdahulu, Ketua Pegawai Eksekutif Perbadanan Pembangunan Sungai dan Pantai Melaka (PPSPM), Datuk Murad Husin mengumumkan pembangunan projek di Sungai Melaka fasa dua membabitkan kawasan sekitar Taman Lagenda bakal beroperasi pada 2024.

BACA LAGI : 'Melaka Touch Point buang masa', baik guna laman web daripada cari skrin nak cek parkir

photo_6246543879629290332_y

Konsep pasar terapung di Hatyai, Thailand yang akan dibangunkan di Melaka.

Antara tarikan baharu yang akan diwujudkan adalah pasar terapung sebagai persediaan Tahun Melawat Melaka (TMM) 2024.

Menurut Murad, ia merupakan antara usaha bagi memberi kepelbagaian kepada produk pelancongan di negeri itu.

Pendekatan berbeza itu juga dikatakan dapat memperkenalkan lagi produk tempatan dengan cara lebih mudah untuk diakses terutamanya kepada penumpang Melaka River Cruise (MRC) yang menelusuri sepanjang Sungai Melaka seperti di Thailand.

Namun, pembaharuan tersebut menerima pelbagai reaksi daripada masyarakat yang mana rata-ratanya tidak bersetuju dengan perkara itu.

Salah seorang pengguna Twitter (X) @jhnrdzi juga antara yang tidak terlepas mengulas tentang pembaharuan tersebut.

Baginya, projek floating market itu tidak akan kekal atau bertahan lama atas beberapa faktor.

BACA LAGI : 'Buang masa, duit dan tenaga', pelancong geram banyak jalan tutup, parkir susah di Melaka

photo_6246543879629290333_y

Kawasan Sungai Melaka yang menjadi antara tarikan pelancong.

Salah satunya adalah kerana ia dikatakan budaya yang sudah luput dan tidak diterapkan dalam kalangan masyarakat Malaysia.

"Dulu kita pernah ada, tapi semuanya ditelan dek masa. Kita mahu beli-belah di pasar raya besar seperti Giant, Carrefour, Tesco, sekarang di Jaya Grocer dan Hero," katanya.

Pada masa sama, dia juga membandingkan situasi tersebut yang tidak sama dengan di Thailand.

Katanya, pasar terapung di Thailand lebih laris kerana pertumbuhan itu datang daripada rakyat dan bukannya disebabkan trend semata-mata.

Manakala, pasar terapung di Melaka itu pula dikatakan hanyalah budaya yang mahu ditiru secara paksaan.

"Pasar terapung kita ini pula hanya suatu kitsch, salinan dari luar yang dibuat sifar jiwa, bukan organik, dipaksa-paksa.

"Mungkin ada seorang anak Datuk yang balik dari Thailand dan teruja dengan apa yang dilihatnya tersebut, lalu mahu menirunya tanpa mengambil faktor budaya, sosial dan ekonomi kawasan kita," jelasnya.

photo_6246543879629290334_y

Perniagaan atas air yang dikatakan bagi memudahkan akses kepada para pelancong yang menaiki MRC.

Susulan itu, dia menyatakan bahawa projek itu berkemungkinan tidak akan bertahan lama jika tiada sokongan atau sambutan daripada masyarakat.

"Tetapi jika ia tidak hadir dari tanah, udara dan matahari tidak mahu menyambutnya, seperti projek kitsch lain, ia akan layu," tambahnya.

Bukan sekadar itu, ada juga yang membantah projek pasar terapung di Melaka disebabkan lokasinya dikatakan kurang sesuai dan jumlah pelancong yang sedikit tidak mampu menampung projek berkenaan untuk jangka masa panjang.

"Masalahnya volume pelancong memang tidak mencukupi untuk menampung pasar terapung untuk jangka masa panjang. Lokasinya juga kurang sesuai. Banyak projek-projek kat Melaka tak masuk akal langsung. Tanyalah orang Melaka," komen @graynoize.

Di sebalik bantahan itu, ada sesetengah warga maya yang melihat ia sebagai satu usaha bagus demi menarik lagi ramai pelancong ke Melaka.

"Ni salah satu usaha untuk tarikan pelancong. Bagi aku, tak salah pun mencuba. Sungai situ pun dah cantik tak berbau kuat macam dulu. Memang dah jadi tarikan pelancong. Lagi satu, konsep pasar terapung ni jual makanan, bukannya barang harian kalau nak banding dengan Giant atau Tesco," respons @m_safuwan. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram