
KEMARAAN Jordan ke perlawanan akhir Piala Asia baru-baru ini sememangnya membuka satu lembaran baharu dalam sejarah bola sepak di benua ini.
Mereka yang tidak dipandang sebagai antara pencabar dalam kejohanan tersebut mencetuskan kejutan apabila mudah menewaskan lawan lebih berkualiti dan hebat, terutamanya Korea Selatan.
Bagi sesetengah pihak, kejayaan itu diraih kerana kehadiran bintang-bintang berkualiti dalam pasukan yang berpengalaman beraksi di liga-liga utama sekitar Asia.
Salah seorang yang boleh diangkat sebagai tonggak dalam skuad kendalian Hussein Ammouta itu ialah bek tengah, Yazan al-Arab dengan persembahannya sepanjang saingan Piala Asia cukup penting.
Dia sememangnya dikenali dalam kalangan peminat bola sepak tempatan kerana pernah beraksi dalam Liga Super bersama skuad Gergasi Merah untuk dua musim.
BACA LAGI: [VIDEO] Bakal ganti Yazan, Selangor selangkah sign bek kental Uzbek
Yazan diumumkan sebagai pemain baharu Muaither SC baru-baru ini. — Instagram/Muaither SC
Meskipun tidak pernah membantu Selangor FC menamatkan penantian untuk meraih gelaran, kehadirannya menyaksikan benteng pertahanan pasukan Lembah Klang itu semakin kukuh.
Tidak cukup dengan itu, pemain berusia 28 tahun berkenaan sememangnya diingati kerana pernah menendang pengadil setelah pasukannya tersingkir daripada saingan Piala Malaysia tahun lalu.
Tindakan terbabit menyaksikannya dihalang Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) untuk beraksi dalam saingan Liga Super, sekali gus menyaksikannya menyertai kelab Iraq, Al-Shorta beberapa minggu sebelum saingan Piala Asia bermula.
Namun, baru-baru ini, Yazan secara rasmi diumumkan sebagai pemain baharu pasukan Qatar, Muaither SC berikutan aksinya yang cemerlang dalam pertandingan berkenaan.
Perpindahan terbabit pasti mencuri perhatian penyokong Selangor FC yang mengharapkan supaya pemain pertahanan tersebut dapat mencipta kejayaan dalam kariernya.
BACA LAGI: Yazan tak beraksi 3 bulan lepas digantung FAM, masih simpan hasrat kembali ke Liga Super
Yazan (kanan) ketika berdepan Korea Selatan dalam separuh akhir Piala Asia 2023. — Agensi
"Tahniah Yazan, jadilah lebih baik di 'rumah' baharu anda. Janganlah dilupakan penyokong Selangor FC di Malaysia," kata Faizal Abdul Rashid.
"Malaysia mungkin sudah halangnya, tetapi kelab negara lain ada nampak keistimewaannya. Kelab Qatar mungkin lebih baik di sini untuknya," komen Indah Namamu.
"Dulu boleh tahan juga Yazan bersama skuad Gergasi Merah. Tetapi, nak buat macam mana. Apa-apa pun, selamat maju jaya buat anda, Yazan," kata Alif Rashid.
Untuk rekod, Yazan mencatatkan 49 penampilan secara keseluruhan buat Selangor FC dalam kesemua kejohanan dengan empat gol dan satu bantuan jaringan direkodkannya. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram