
PERSIAPAN ke pentas Liga Juara-Juara Asia 2 (ACL2) Selangor FC nampaknya berjalan mengikut perancangan apabila kini kelab Lembah Klang itu sedang giat menambah baik fasiliti Stadium Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ) untuk kejohanan Asia berkenaan.
Setakat perkembangan semasa, Gergasi Merah sudah melakukan kerjasama dengan MBPJ untuk menaik taraf fasiliti stadium seperti sistem saliran perparitan, tandas, tempat duduk penonton, bilik persalinan serta surau.
Selain daripada fasiliti stadium, Selangor juga tidak melepaskan kesempatan untuk menambah baik skuad depth menjelang musim baharu ini apabila dilaporkan sedang memburu khidmat bintang Uzbekistan bagi memperkuatkan benteng pertahanan.
Memetik ciapan dari pemerhati sukan, Fateen Shazwani di laman X miliknya menyatakan bahawa Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Selangor FC, Dr. Johan Kamal Hamidon sedang mempertimbangkan untuk membawa masuk Umar Eshmurodov.
Eshmurodov yang kini sedang fokus bersama negaranya untuk menentang Qatar bagi saingan suku akhir Piała Asia berpotensi untuk menggantikan pertahanan kental Jordan, Yazan Al-Arab.
Selangor difahamkan bakal dapat khidmat pemain Uzbekistan untuk musim 2024/2025.
Pemain itu juga dikhabarkan kini sedang beraksi untuk skuad kebangsaan Uzbekistan dalam saingan Piala Asia.@ASTROARENA pic.twitter.com/5YW00gWWaQ
— Fateen (@fateenshazwani) February 1, 2024
BACA LAGI: Spekulasi kini terpadam, Faisal Halim kekal bersama Selangor
Pemain berusia 31 tahun berkenaan mempunyai reputasi tersendiri bersama bekas kelabnya, FC Nasaf yang mana dia merupakan ketua pasukan berkenaan dan berpengalaman beraksi di saingan ACL.
Pengalaman Eshmurodov dalam kariernya dalam saingan di peringkat tertinggi menjadikannya sebagai calon ideal untuk mengukuhkan lagi benteng pertahanan skuad Gergasi Merah.
Selain itu, rekodnya yang cemerlang dari segi kutipan trofi turut memberansangkan dengan dia sudah menjuarai empat gelaran Piala Uzbek dan Piala Sumbangsih Uzbekistan sekali.
Di saingan Piala Asia pula pula, Eshmurodov diberi kepercayaan untuk beraksi dalam semua perlawanan Kumpulan B menentang Syria, India dan Australia.
Malah, baru-baru ini Eshmurodov juga mengetuai pertahanan Uzbekistan menewaskan Thailand 2-1 dalam saingan Pusingan 16 Piala Asia. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram