DI Amerika Syarikat, kejadian tembakan rambang merupakan antara insiden yang sering penduduk di negara tersebut.
Malah setiap tahun, akan ada sahaja insiden sedemikian yang turut melibatkan kehilangan nyawa dilaporkan berlaku.
Perkara itu disumbangkan antara lain disebabkan polisi pengawalan senjata api yang lemah diamalkan oleh pentadbiran negara berkenaan.
Menurut data diterbitkan Arkib Keganasan Senjata (GVA), lebih 42,000 orang maut akibat keganasan senjata api di AS sepanjang tahun lalu.
Angka itu meliputi 650 kes tembakan besar-besaran; 40 pembunuhan besar-besaran; 1,161 kes menggunakan senjata api untuk pertahanan diri dan 1,543 kes membabitkan tembakan tidak disengajakan.
Antara kejadian tembakan rambang yang paling traumatik pernah terjadi di negara tersebut berlaku pada 1 Oktober 2017 ketika berlangsungnya satu acara di Las Vegas, Nevada, AS.
Tangkap layar memaparkan penyanyi yang sedang membuat persembahan lari meninggalkan pentas sebaik menyedari kejadian tembakan yang berlaku di lokasi.
Dalam kejadian tersebut, seramai 60 individu maut selepas seorang lelaki berumur 64 tahun melepaskan tembakan rambang kepada pengunjung yang ketika itu hadir menyaksikan persembahan pada festival muzik Route 91 Harvest.
Tragedi itu disifatkan sebagai insiden tembakan rambang paling teruk dalam sejarah negara tersebut yang melibatkan seorang lelaki bersenjata.
Ketika kejadian, pelakunya yang dikenali sebagai Stephen Paddock bertindak melepaskan tembakan dari atas tingkap bilik hotelnya yang terletak di tingkat 32.
Tembakan rambang itu berlaku sekitar pukul 10 malam hari kejadian, yang merupakan malam ketiga dan terakhir festival muzik berkenaan sebaik sahaja penyanyi muzik country, Jason Aldean memulakan persembahan penutupnya.
Stephen Paddock. — Agensi
Detik ngeri tersebut turut dirakam oleh pengunjung yang ketika itu berada di hadapan pentas untuk menyaksikan nyanyian tersebut.
Dalam video tersebut, penyanyi berkenaan dilihat sedang bermain gitar dan menyanyikan lagu sebelum kedengaran bunyi tembakan yang dilepaskan bertalu-talu.
Artis tersebut dilihat mengambil sedikit masa untuk menyedari insiden yang berlaku sebelum dengan segera berlari meninggalkan pentas berkenaan.
Insiden serangan tersebut turut mengakibatkan kecederaan terhadap seramai 500 pengunjung yang berada di lokasi semasa kejadian.
Stephen kemudiannya ditemui mati di dalam bilik hotelnya dipercayai akibat bunuh diri. — Agensi
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram