[VIDEO] Seorang maut, 8 budak cedera pesta perarakan trofi bola sepak Amerika bertukar tragedi


  • Podium
  • Khamis, 15 Feb 2024

Pasukan Kansas City Chiefs terselamat daripada menjadi mangsa tembakan rambang selepas berarak meraikan kemenangan dalam Kejohanan Super Bowl pada Rabu. — AFP

DETIK manis penyokong meraikan kejayaan pasukan kesayangan, Kansas City Chief selepas menjulang piala Kejohanan Super Bowl National Football League (NFL) di Kansas City, Missouri di Amerika Syarikat (AS) pada Rabu bertukar tragedi berdarah apabila seorang maut menjadi mangsa tembakan rambang penembak yang masih belum dikenal pasti..

Menerusi video tular di laman X, suasana keraian bertukar huru-hara dengan ratusan manusia cuba menyelamatkan diri daripada individu yang melakukan tembakan rambang berkenaan pada Khamis (waktu Malaysia).

Rakaman video yang dikongsi orang ramai di platform media sosial turut menunjukkan puluhan anggota polis menyerbu bangunan tempat letak kereta selepas tembakan mula kedengaran di kawasan berkenaan.

Memetik laporan media luar negara, sekurang-kurangnya seorang terbunuh manakala 22 lagi cedera dalam insiden tembakan rambang semasa pada akhir perbarisan untuk meraikan kemenangan Kansas City Chief.

BACA LAGI: Dengarnya 2 bekas bintang EPL tunggu masa 'kemas beg' ke Malaysia bulan depan

BACA LAGI: 'See you soon' bukan mesej ke JDT tapi ada 3 maksud tersirat buat Arif Aiman

Lebih menyayat hati apabila pihak berkuasa mengesahkan seramai lapan kanak-kanak adalah antara mangsa ditembak rambang dari individu yang masih belum dikenal pasti identitinya itu.

"Tembakan telah dilepaskan di sekitar Union Station. Sila tinggalkan kawasan itu," kata Jabatan Polis Kansas City di X sambil mengesahkan lebih 800 pegawai penguatkuasa undang-undang berada di tempat kejadian untuk mengawal keselamatan orang ramai.

Dalam pada itu, ketua jurulatih Kansas City Chief, Rick Burkholder pula mengesahkan bahawa seluruh pasukannya sudah menaiki bas untuk pulang ke Stadium Arrowhead semasa pada kejadian berkenaan.

“Pada masa ini, kami telah mengesahkan bahawa semua pemain, jurulatih, kakitangan dan keluarga mereka selamat.

"Kami berterima kasih kepada pegawai penguatkuasa undang-undang tempatan dan responden pertama yang berada di tempat kejadian untuk membantu," katanya dalam satu kenyataan pada Rabu. — Agensi

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram