ISU keselamatan dan penyelenggaraan jalan raya sememangnya merupakan sesuatu yang tidak boleh diambil mudah oleh mana-mana pihak.
Ini kerana kegagalan untuk memastikan perkara tersebut bakal mendedahkan pengguna jalan raya terhadap risiko kemalangan yang turut boleh membawa kepada kehilangan nyawa.
Pada masa sama, tahap keselamatan dan penyelenggaraan yang tinggi juga secara langsung memberikan keselesaan buat pengguna jalan raya.
Antara pihak utama yang bertanggungjawab memastikan perkara tersebut adalah Jabatan Kerja Raya Malaysia (JKR).
Baru-baru ini, bagi memastikan keselamatan dan JKR daerah Sepang telah bertindak untuk memasang satu papan tanda larang membuat pusingan U di Jalan FT 31, Jalan Banting - Kajang, Selangor.
Proses pemasangan yang dilaksanakan pada 5 Februari lalu itu dibuat pihak JKR hasil aduan daripada orang awam.
Ia selepas kawasan jalan tersebut dipercayai sering menyaksikan berlakunya kemalangan dan menerima aliran trafik yang agak tinggi.
Bagaimanapun, langkah itu dilihat kritikan daripada penduduk di kawasan tersebut yang menyifatkannya sebagai bukan satu penyelesaian terbaik.
"Maaf, tapi ini bukan solusi yang terbaik. Ada buat kajian aliran trafik tak sebelum buat keputusan nak pacak signboard ni?
"Kiri kanan sepanjang jalan ni ada banyak taman perumahan, kepadatan penduduk semakin tinggi. Berhampiran simpang ni pula ada kawasan kedai yang jadi tumpuan penduduk.
"Bila semua kereta kena u-turn dekat simpang Dengkil-Salak-Bangi yang memang dah sedia maklum sesak dengan trafik ke Salak, semakin teruk lah bottleneck dekat situ," tulis Farah Adnan.
BACA LAGI: Warga asing lunyai dipukul, dihentak 3 lelaki di Ipoh, Perak
Jelasnya lagi, akibat larang membuat pusingan U itu, penduduk turut perlu menempuh kira-kira dua lampu isyarat yang jarak perjalanannya sejauh kira-kira 1 kilometer(KM).
"(Kena) hadap lima hingga 10 minit untuk u-turn ikut signboard. Waktu sesak, memang 20 minit la kena tunggu. Tolong buat solusi yang menyeluruh dan ambil kira aliran trafik di sepanjang jalan ni.
"Setakat pasang signboard takkan selesaikan isu," tambah Farah Adnan.
Dia turut berpandangan bahawa JKR sepatutnya mengambil langkah meletakkan letak lampu isyarat dan bonggol bagi membenarkan pengguna melakukan pusingan U di kawasan tersebut.
Tindakan itu menurutnya dipercayai mampu memastikan aliran trafik yang lebih baik, di samping membantu perlahankan kereta dan lori yang selalu membut pecutan di jalan lurus terbabit.
Setakat laporan ini ditulis, komen daripada Farah Adnan itu sudah mendapat kira-kira 53 tanda suka.
Bagaimanapun, cadangan daripada Farah Adnan itu bagaimanapun mendapat respons yang agak dingin daripada pengendali Facebook rasmi JKR Daerah Sepang yang dilihat seakan-akan menyindir pandangan tersebut.
"Nak ikut semua kehendak...macam-macam...kalau semua ikut peraturan senang," tulis JKR Daerah Sepang yang membalas komen daripada Farah Adnan.
Tindakan pengendali tersebut ternyata mendapat menimbulkan rasa tidak puas hati dalam kalangan pengguna media sosial yang menganggap perbuatan berkenaan sebagai tidak profesional.
"Adakah ini standard jawapan balas oleh JKR Daerah Sepang? Yang bertanya mempunyai justifikasi yang berasas tapi dijawab bersahaja dengan nada sindiran.
"Saya sebagai penduduk yang setiap hari perlu u-turn di jalan ini sangat bersetuju dengan soalan dan cadangan yang dilontarkan.
"Kalaupun pihak JKR mempunya justifikasi mereka yang tersendiri, jawablah dengan berhemah soalan yang ditanya dan terangkan mengapa idea yang cadangkan oleh yang bertanya tidak boleh dilaksanakan," ujar Arif Zamani. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram