SATU kajian pemantauan produk turapan jalan lapisan permukaan haus jenis Stone Mastic Asphalt (SMA) yang menggunakan bitumen terubahsuai dengan campuran plastik iaitu Petronas Plastic Modified Bitumen sedang dilaksanakan oleh Cawangan Jalan, Jabatan Kerja Raya Malaysia (JKR) dengan kerjasama Petronas Research Sdn. Bhd. (PRSB).
Produk yang dibangunkan oleh PRSB menggunakan spesifikasi SMA dengan bitumen terubah suai gred PG76 itu dilaporkan sudah mula diturap setebal 50 milimeter pada 10 Januari 2023 sepanjang 200 meter di Jalan Persekutuan FT185, Jalan Simpang Pulai-Blue Valley, Kelantan.
Menurut Kementerian Kerja Raya (KKR) dalam satu kenyataan pada Selasa, lokasi itu dipilih bagi membuktikan produk mempunyai daya tahan yang tinggi memandangkan kawasan tersebut adalah kawasan berbukit dan berkenderaan berat.
Sekitar tinjauan yang dilakukan pada Selasa. — KKR
"Pemantauan prestasi turapan produk ini bakal berakhir pada Selasa. Bagi mengetahui prestasi produk ini di tapak kajian, Menteri Kerja Raya, Datuk Sri Alexander Nanta Linggi telah turun padang meninjau sendiri keadaannya dan mendapatkan laporan keberkesanan teknologi tersebut.
"Berdasarkan laporan dan pemerhatian, produk ini melepasi ujian bahan dan campuran bahan serta menunjukkan prestasi yang baik di tapak sepanjang setahun pemantauan.
BACA LAGI : Angkara jalan rosak, rider maut terpelanting motor terperosok bawah lori di Jambatan Selat Klang
"Secara dasarnya, produk turapan jalan dengan campuran bitumen terubah suai menggunakan bahan buangan plastik tempatan ini boleh dijadikan bahan alternatif turapan jalan," menurut kenyataan itu.
Dalam pada itu, produk tersebut juga dijangka mampu mengatasi masalah jalan berlubang serta dapat meningkatkan daya tahan terhadap aluran, selain dapat menyahut seruan kerajaan dalam pembinaan mampan melalui penggunaan bahan terpakai sebagai inovasi dan teknologi baharu dalam pembinaan dan infrastruktur negara.
Penggunaan bitumen terubahsuai dengan campuran plastik digunakan untuk menyelesaikan masalah jalan rosak. — KKR
Pada masa sama, tinjauan itu turut dilakukan bersama Pengarah Kanan Cawangan Jalan, JKR Malaysia, Datuk Ir. Ibrahim Esa, Pengarah Kanan Pusat Kecemerlangan Kejuruteraan dan Teknologi JKR CREaTE, Pengarah JKR Negeri Kelantan serta Penasihat, Solusi Teknologi Digital, Teknologi dan Pengkomersilan Kumpulan Petronas, Ir. Mohamad Faudzi Mohd Yasir, dan pegawai-pegawai kanan JKR Malaysia.
BACA LAGI : Jalan rosak teruk, penduduk seru nama Lando Brotherhood buat sesuatu
Tambahnya, KKR sentiasa komited dalam memastikan jaringan laluan persekutuan kekal berkualiti melalui inovasi tekologi penyenggaraan yang berterusan.
"Ini selaras dengan hasrat kempen MYJalan yang telah dilancarkan oleh KKR, yang ingin menyediakan infrastruktur yang selesa dan selamat dengan penglibatan dan tanggungjawab bersama oleh semua pihak," jelasnya. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram