'Bagai lepas batuk di tangga', MB Johor tegur isu pembinaan jambatan


  • Primer
  • Khamis, 01 Feb 2024

Lokasi tapak pembinaan jambatan yang dikatakan tidak mengikut garis masa ditetapkan. — Facebook/Onn Hafiz

KESAL dengan sikap tidak bertanggungjawab pihak kontraktor, Menteri Besar Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi menggesa Jabatan Kerja Raya (JKR) menyelesaikan masalah pembinaan jambatan di Kampung Perigi Acheh, Pasir Gudang, Johor dengan segera.

Onn ketika melakukan lawatan ke kawasan itu berkata, masalah yang sudah lama membelenggu hidup masyarakat setempat seharusnya tidak berlaku.

BACA LAGI : Golongan nelayan Sebuyau kecewa, projek jambatan tanpa tangga ibarat tempat 'training ninja'

msg1050426791-24163

Onn (kanan) ketika menyantuni penduduk di kampung berkenaan. — Facebook/Onn Hafiz

Katanya, beliau amat kecewa dengan perkembangan pembinaan jambatan yang tidak mengikut garis masa yang sepatutnya dilakukan oleh pihak kontraktor terlibat.

"Ibarat melepaskan batuk di tangga. Itulah perumpamaan yang tepat dengan isu jambatan Kampung Perigi Acheh yang sudah lama membelenggu hidup masyarakat setempat akibat pihak yang tidak bertanggungjawab.

"Saya amat kesal dengan perkembangan pembinaan jambatan yang tidak mengikut garis masa yang sepatutnya serta pihak kontraktor yang tidak bertanggungjawab.

"Saya telah meminta pihak JKR bagi mencari solusi terbaik dan menyelesaikan isu ini secepat mungkin," katanya menerusi hantaran di Facebook rasminya pada Khamis.

BACA LAGI : Kanak-kanak cedera, penduduk Kampung Buyong gesa pihak berwajib pantau projek bina jambatan

msg1050426791-24166

Kerja menaik taraf padang bola antara usaha yang sedang dijalankan. — Facebook/Onn Hafiz

Dalam perkembangan lain, Onn berkata, kerja-kerja menaik taraf dan menurap semula jalan akan dimulakan segera serta dijangka selesai mengikut masa yang ditetapkan.

Jelasnya, ia demi memberi keselesaan dan melancarkan pergerakan keluar masuk penduduk kampung di kawasan berkenaan.

"Padang bola juga akan dinaik taraf untuk kegunaan dan keselesaan orang kampung. Semoga semua pihak yang terlibat dapat menjalankan amanah yang diberikan dengan telus dan terancang demi keselamatan serta keselesaan penduduk. Insya-ALLAH," katanya. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram