[VIDEO] Jangan suka tuding jari, menteri juga patut turun padang pantau jalan ‘bulan’ di Sabah


  • Massa
  • Selasa, 16 Jan 2024

Keadaan jalan raya di Kampung Jaya Baru, Kinabatangan yang tular di media sosial sebelum ini. — Facebook

"JANGAN suka tuding jari, menteri juga patut turun padang pantau keadaan jalan di Saba.,"

Begitulah sindiran pedas yang ditinggalkan warga maya terutamanya rakyat Sabah yang marah dan kecewa dengan kerosakan semua jalan raya di negeri tersebut.

Sindiran itu turut ditujukan kepada Menteri Kerja Raya Sabah, Datuk Ir Shahelmey Yahya yang sebelum ini telah mengeluarkan kenyataan untuk mengarahkan jurutera Jabatan Kerja Raya (JKR) dan syarikat konsesi penyelenggaraan jalan raya memantau keadaan jalan yang rosak.

Ahli Parlimen Putatan itu berkata, arahan tersebut sudah dimaklumkan kepada Pengarah JKR Sabah untuk disebarkan kepada semua jurutera daerah dan syarikat konsesi.

Beliau turut meminta agar laporan pemantauan dan kerosakan jalan raya sentiasa dikemas kini bagi memudahkan pengurusan dan permohonan peruntukan untuk melaksanakan kerja pembaikan.

“Saya sudah meminta Pengarah JKR mengarahkan semua jurutera daerah dan jurutera penyelenggaraan jalan serta syarikat konsesi penyelenggaraan jalan untuk sentiasa proaktif memantau keadaan jalan raya di bawah jagaan mereka dari semasa ke semasa.

“Laporan keperluan hendaklah sentiasa dikemas kini untuk tujuan pengurusan dan keperluan memohon peruntukan tambahan sekiranya ia menjadi kekangan keperluan kerja,” katanya dalam satu kenyataan pada Selasa.

BACA LAGI : [VIDEO] 'Yang undi rakyat Sabah, tapi yang selesa pelancong', penduduk gesa baiki jalan berbanding naik taraf KKIA

Namun kenyataannya itu ibarat memakan diri apabila rakyat Sabah berasakan ia adalah tanggungjawab menteri untuk memastikan jalan raya di negeri itu diselengara dengan baik.

Menurut Mali Kazul, pihak menteri di Sabah sepatutnya mempunyai sikap yang lebih bertanggungjawab.

"Menteri sendiri kena turun padang dan tengok sendiri kakitangan JKR buat kerja. Jangan tidur sahaja," katanya.

Johnlee Johnlee pula turut bersetuju dengan pendapat Mali Kazul.

"Rajin-rajin turun padang YB (Yang Berhormat). Jangan nanti rakyat Sabah marah terus tumbang," katanya.

Mila Samilah pula menyifatkan keadaan jalan di sabah tidak ubah seperti kawah bulan yang berlubang.

"Jalan pun macam kawah bulan, sampai bila rakyat terpaksa hadap jalan seperti ini," katanya.

Terdahulu, Majoriti melaporkan rakyat Sabah mendesak kerajaan memperbaiki jalan raya di negeri tersebut sebelum menaik taraf Lapangan Terbang Antarabangsa Kota Kinabalu (KKIA).

Ia adalah susulan isu kerosakan jalan raya di Kampung Jaya Baru, Kinabatangan yang tular di media sosial sebelum ini.

Jalan yang menjadi sebahagian laluan Lebuhraya Pan Borneo itu dipenuhi banyak lubang menyebabkan air bertakung hingga kelihatan seperti kolam, berikutan hujan berterusan di kawasan berkenaan sejak kebelakangan ini. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram