Kuarters SK Bandar 2 Paloh Hinai dikosongkan ekoran tanah mendap — Polis


  • 112
  • Ahad, 07 Jan 2024

Bangunan kuarters di Pekan yang terpaksa dikosongkan ekoran kejadian tanah mendap di kawasan berhampiran pada Ahad. — Facebook

BANGUNAN kuarters empat tingkat Sekolah Bandar 2 Paloh Hinai, Pekan, Pahang, terpaksa dikosongkan ekoran kejadian tanah mendap berhampiran kawasan itu pada Ahad.

Ketua Polis Daerah Pekan, Superintendan Mohd Zaidi Mat Zin berkata, seramai lapan keluarga membabitkan 24 penghuni dipindahkan sementara di asrama sekolah berkenaan.

Mohd Zaidi berkata, pihaknya menerima maklumat daripada pihak sekolah terhadap kejadian itu pada pukul 8.55 pagi Ahad.

BACA LAGI : Kejadian tanah mendap di LPT1 berpunca daripada runtuhan cerun tambak

msg1050426791-21847

Pihak berkuasa yang sedang menyiasat kejadian tersebut. — Facebook

"Bangunan kuarters telah dikosongkan oleh semua penghuni bagi langkah keselamatan dan mereka dipindahkan sementara di asrama sekolah," katanya dalam satu kenyataan pada Ahad.

Katanya, arahan pengosongan itu dilakukan oleh Jabatan Kerja Raya (JKR).

Pada masa sama, pemasangan papan tanda amaran dan pita penghadang amaran dilaporkan sudah diletakkan di lokasi kejadian.

"Pemantauan akan dibuat dari semasa ke semasa oleh pihak Jabatan Kerja Raya (JKR) Pekan dan Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) di kawasan terbabit.

"JKR turut memaklumkan, penyiasatan tanah dan tapak oleh Bahagian Struktur dan Cerun secara terperinci akan dibuat bagi tujuan pembaikan kawasan mendapan tanah," tambahnya. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram