JDT, Sabah, Selangor miliki sebab kuat boleh 'sailang' Santos lepas tak jadi lawan Kedah


  • Podium
  • Ahad, 04 Feb 2024

Santos FC pada awalnya dijadual menentang Kedah pada 17 Februari ini di Stadium Darul Aman, Alor Setar. — Facebook/SantosFC

KELAB Divisyen Dua Campeonato Brasileiro, Santos FC nampaknya perlu mencari calon 'sparring partner' lain selepas perlawanan menentang Kedah Darul Aman (KDA) FC pada 17 Februari ini di Stadium Darul Aman, Alor Setar, Kedah tidak berjalan seperti yang direncanakan.

Berdasarkan perkongsian laman Facebook rasmi Santos FC menyiarkan jadual perlawanan Februari mereka tanpa memasukkan aksi persahabatan menentang pasukan Hijau Kuning tersebut.

Sebelumnya, pengendali skuad Sang Kenari, Nafuzi Zain juga tampil menyatakan aksi tersebut tidak akan berlaku kerana masalah dalaman KDA FC dan skuad bimbingannya hanya akan lakukan aksi pra musim selepas isu kewangan pasukan sudah diselesaikan oleh pihak pengurusan.

Kedah dilaporkan mengalami isu tunggakan selama empat bulan dan difahamkan kelab Utara tanah air berkenaan diberi tempoh sehingga 31 Januari untuk menyelesaikan perkara tersebut.

WhatsApp Image 2024-02-03 at 14.32.41

Tangkap layar jadual terbaharu perlawanan pada Februari Santos FC.

Tambah Nafuzi, perbincangan menentang kelab Brazil itu berkemungkinan dibuat pada musim lalu dan pastinya pihak Santos FC tidak mengetahui perkembangan semasa Kedah sehingga menyiarkan maklumat perlawanan di platform media sosial mereka.

Namun, sekiranya kelab yang pernah melahirkan bintang dunia seperti Neymar dan mendiang Pele itu ingin mengadakan aksi pra musim di Malaysia, terdapat empat pasukan sesuai diajak sebagai 'sparring partner’.

Pasukan yang ingin mengadakan aksi persahabatan mendapat manfaat dengan ia boleh menjadi platform persediaan untuk semak semula kelompangan yang ada.

1) Sabah FC

sabah latihan

Sabah bakal menentang Macarthur pada 13 Februari ini. — Facebook/SabahFC

Gara-gara masih berjuang di peringkat Piala AFC, Sabah FC menjadi pasukan terawal yang mengadakan sesi latihan untuk bertemu dengan kelab Australia, Macarthur pada 13 Februari bagi aksi separuh akhir Zon Asean.

Sesi latihan bagaimanapun masih belum cukup menjadi persediaan menentang pasukan berkualiti itu dan pengendali kelab, Datuk Ong Kim Swee juga berharap agar dapat melaksanakan satu perlawanan persahabatan.

"Kesemua pasukan dari Semenanjung Malaysia masih sedang bercuti. Jadi, adalah agak sukar buat kami untuk mendapatkan lawan bagi aksi pemanas badan," katan Kim Swee.

Daripada memikirkan lawan yang berada di serantau negara ataupun kejiranan, The Rhinos mungkin boleh cuba berunding dengan Santos FC untuk mengadakan perlawanan persahabatan dalam masa terdekat ini.

Sekiranya The Rhinos tidak berkesempatan melakukan perlawanan persahabatan sebelum menentang Macarthur, inisiatif menentang Santos boleh dibuat jika Sabah layak ke peringkat seterusnya.

2) Selangor FC

ronnie selangor

Fernandez mengisi kekosongan yang ditinggalkan Ayron Del Valle. — Facebook/SelangorFC

Naib juara Liga Super 2023, Selangor FC tampak awal menyusun strategi bagi musim baharu ini dengan lebih awal memgumumkan ketibaan pemain baharu dan difahamkan juga mempunyai perancangan untuk aksi pra musim.

Setakat ini, skuad Gergasi Merah sudah mengumumkan pemain pertahanan Uzbekistan, Umarbek Eshmurodov dan penyerang dari Chile, Ronnie Fernandez sebagai bintang import baharu mereka bagi menghadapi saingan musim 2024/2025.

Dengan kehadiran awal dua wajah baharu berkenaan dan pemain sedia ada, Selangor pasti sedang bersiap sedia untuk mengadakan latihan pra musim dengan difahamkan Bangkok, Thailand akan menjadi pilihan.

Sekiranya GergasI Merah belum mempunyai calon lawan untuk pra musim, Selangir boleh menjemput Santos ke Bangkok bagi menguji kekuatan mereka dan sebagai persediaan Liga Juara-Juara AFC 2 (ACL2) yang bermula pada September.

3) Johor Darul Takzim (JDT)

jdt pramusim

Pada aksi pra musim tahun lepas, JDT menentang juara Liga Rusia, Zenit St Petersburg yang berakhir dengan keputusan 0-3. — Facebook/JDT

Juara 'Double Quadruple’ Liga Malaysia (Liga M), Johor Darul Takzim (JDT) difahamkan bakal mengadakan kempen pra musim di Portugal dan Sepanyol bagi mempersiapkan pasukan bagi menghadapi saingan domestik dan Liga Juara-Juara AFC Elite (ACLE).

Walaupun dalam beberapa tahun kebelakangan ini Harimau Selatan jarang memanggil pasukan Brazil sebagai lawan pramusim namun ia bukan sesuatu yang janggal jika JDT mencuba kelainan.

Malah, perlawanan pramusim menentang Santos juga sesuai untuk menjadi alternatif JDT untuk mengintai pemain berdarah Latin, yang mana cukup sinonim DNA pengambilan bintang import mereka.

Antara pemain kelahiran Brazil yang sukses bersama JDT sehingga kini ialah penyerang prolifik, Bergson Da Silva. Tonggak Harimau Selatan itu berjaya masuk ke dalam senarai 50 penyerang dengan jaringan terbanyak bagi tahun 2023.

Senarai yang dikeluarkan oleh pihak International Federation of Football History & Statistics (IFFHS) itu menyaksikan Bergson menyumbang 39 gol untuk JDT pada 2023 dalam pelbagai kejohanan.

4) Skuad B-23 negara

HM muda

Skuad B-23 negara akan berangkat ke Doha, Qatar bagi saingan Piala Asia B-23 pada April depan. — Facebook/FAM

Sedikit berbeza dengan tiga kelab di atas, skuad bawah 23 (B-23) tahun negara juga sesuai untuk mencuba nasib dengan menghantar permohonan menentang jaguh Brazil berkenaan.

Perlawanan menentang Santos FC dapat dijadikan sebagai aksi pemanas badan menjadi medan terbaik buat skuad muda negara melakukan persiapan sebelum ke Piala Asia B-23 di Qatar, pada April depan.

Selain itu, perlawanan tersebut juga boleh menguji tahap persediaan skuad kendalian Juan Torres Garrido yang bakal menentang gergasi Asia dengan saiz badan dan kekuatan mereka jauh lebih hebat berbanding ubi muda tanah air.

Jika Harimau Muda dapat melaksanakan aksi pemanas badan menentang Santos dalam masa terdekat ini, ia dapat menjadi pelan sandaran sekiranya skuad B-23 tidak berhasil menyertai kejohanan empat penjuru di Indonesia.

Skuad B-23 kini sedang menunggu pengesahan daripada penganjur bagi menyertai kejohanan empat penjuru di Indonesia dengan ia bakal disertai pasukan besar dari Asia iaitu Arab Saudi dan Tajikistan selain tuan rumah, pasukan Garuda. —Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram