‘SANTOS jadi mitos’.
Demikian luahan penyokong Kedah Darul Aman (KDA FC) selepas pertemuan menentang jaguh Brazil, Santos FC tidak akan berlaku dalam masa terdekat dek isu dalaman yang masih belum diselesaikan sehingga kini.
Perkembangan terbaharu mengenai perlawanan persahabatan berkenaan dikongsikan sendiri oleh pengendali kelab, Nafuzi Zain dengan dia menafikan bahawa mereka akan menentang kelab Divisyen Dua Campeonato Brasileiro berkenaan.
Menurut pengendali kelahiran Kelantan berkenaan, skuad bimbingannya hanya akan lakukan aksi pramusim selepas masalah kewangan pasukan Hijau Kuning sudah diselesaikan oleh pihak pengurusan KDA FC.
“Saya dan pasukan tidak dimaklumkan oleh pihak pengurusan kelab tentang perlawanan persahabatan ini, dan khabar angin itu tidak benar kerana kami tidak akan menentang Santos FC. Liga Super Malaysia telah tamat beberapa bulan lalu dan pemain kami masih belum memulakan latihan mereka untuk musim baharu.
“Kami telah menghadapi banyak isu kewangan dalam kelab kami, dan pihak pengurusan bekerja keras untuk menyelesaikan masalah yang berterusan ini. Itulah fokus utama mereka buat masa ini.
“Kami hanya boleh memikirkan perlawanan dan latihan pramusim kami sebaik sahaja isu kewangan dan gaji pemain diselesaikan. Buat masa ini, kami tidak mempunyai sebarang rancangan untuk bermain sebarang aksi pramusim atau perlawanan persahabatan,” memetik laporan dari Scoops.
BACA LAGI: [VIDEO] Sebelum Santos, skuad Pilihan Brazil uji Kedah terlebih dahulu di Darul Aman
Tangkap layar jadual terbaharu perlawanan pada Februari Santos FC.
BACA LAGI: Kedah bukan pasukan pertama dijemput kelab popular, Sabah lebih awal layan kunjungan Man United
Kedah dilaporkan mengalami isu tunggakan selama empat bulan dan difahamkan kelab Utara tanah air berkenaan diberi tempoh sehingga 31 Januari untuk menyelesaikan perkara tersebut.
Tambah Nafuzi, perbincangan menentang kelab Brazil itu berkemungkinan dibuat pada musim lalu dan pastinya pihak Santos FC tidak mengetahui perkembangan semasa Kedah sehingga menyiarkan maklumat perlawanan di platform media sosial mereka.
Dalam perkembangan berlainan, laman Facebook rasmi Santos FC menyiarkan jadual perlawanan Februari mereka tanpa memasukkan aksi persahabatan menentang pasukan Hijau Kuning tersebut.
Perlawanan yang sepatutnya diadakan di Stadium Darul Aman pada 17 Februari depan itu kini kosong dan skuad kendalian Fabio Carille sebaliknya mengadakan aksi menentang kelab Brazil, Gremio Novorizontino pada keesokan harinya. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram