Ramai sokong andai 'Pok Li' pilih sertai seteru Pantai Timur skuad Sang Penyu musim depan


  • Podium
  • Sabtu, 13 Jan 2024

Wan Fazli (kiri) tidak meraih sebarang penampilan bersama skuad senior Sang Penyu tiga musim kebelakangan ini. ​​​​​​​— Facebook/Terengganu FC II

DALAM usaha Terengganu FC kembali berada di landasan terbaik bola sepak tanah air, mereka mengambil keputusan melepaskan beberapa pemain yang dirasakan kurang sesuai dengan pendekatan taktikal ketua jurulatih, Tomislav Steinbruckner.

Antara nama yang pastinya akan dirindukan penyokong Sang Penyu ialah dua tonggak import, Habib Haroon dan Sony Norde yang memainkan peranan penting dalam membantu pasukan itu ke pentas akhir Piala Malaysia.

Bagaimanapun, ada setengah daripada mereka yang mempersoalkan keputusan pasukan Pantai Timur tersebut melepaskan pemain sayap, Wan Fazli Ghazali meskipun dia lebih kerap diletakkan dalam skuad simpanan.

Menurut rekod musim lalu, pemain berusia 27 tahun terbabit mencatatkan tujuh penampilan buat skuad kendalian Hairuddin Omar dalam saingan Piala MFL selain membantu mereka muncul juara pertandingan.

Meskipun tidak melakukan sebarang sumbangan di hadapan pintu gol, penyerang terbabit masih mempunyai hubungan cukup baik dengan penyokong Terengganu FC setelah kira-kira tiga musim menabur khidmat.

1710954

Wan Fazli pernah mencipta nama bersama Terengganu FC II dalam Liga Perdana dua musim lalu. Facebook/Terengganu FC

Jadi, dalam usaha meneruskan kariernya dalam sukan berkenaan, Wan Fazli dilaporkan berada dalam radar Kelantan United yang cukup sesuai untuk anak jati Kuala Krai, Kelantan itu.

Perkara itu dikongsikan pengguna Facebook, Malayantigerfans yang mengatakan perpindahan terbabit masih berstatus khabar angin meskipun pemain yang dikenali sebagai 'Pok Li' berstatus ejen bebas ketika ini.

Berdasarkan tinjauan di rungan komen, ura-ura berkenaan diterima baik rata-rata penyokong Terengganu FC yang berpendapat ia merupakan langkah terbaik demi karier pemain itu.

"Dia berani ambil risiko untuk menunjukkan bakat dimilikinya bersama pasukan lain. Mungkin, sekarang ini dia tidak menerima sebarang tawaran. Jika ada, mungkin sukar dapatkan minit permainan kerana perlu bersaing dengan pemain import.

"Jika sertai Kelantan United, gaji tidaklah besar. Tetapi, sekurang-kurangnya dapatlah dia perolehi minit permainan. Apa-apa pun, kita doakan yang baik untuknya," kata FizZow MaMaT.

340005340_1953926671632418_4511790103168747218_n

Skuad Kijang Hijau bergelut di hadapan pintu gol musim lalu. Facebook/Kelantan United FC

"Dia mahu bermain dalam Liga Super. Mungkin kualiti yang ada padanya akan lebih terserlah di mata pasukan yang lain lepas ni, hormati keputusan dia," ujar Mohd Jefri Hisham.

"Pemilihan yang tepat sekiranya betul-betul Fazli Ghazali ke Kelantan United FC musim depan, boleh tajamkan bahagian serangan pasukan," kata Asri Ibrahim.

Wan Fazli sebelum ini pernah mempamerkan kebolehannya bersama Terengganu FC II yang beraksi dalam Liga Perdana 2022 dengan lapan gol dijaringkannya sepanjang musim.

Bagaimanapun, ia masih belum cukup untuk mencuri perhatian Tomislav atau Hairuddin sehingga menyaksikan kontraknya bersama pasukan itu ditamatkan baru-baru ini.

Skuad Kijang Hijau yang berada di kedudukan ke-12 Liga Super 2023 mampu memberikan peluang buatnya memandangkan pasukan itu cukup tumpul di hadapan pintu gol musim lalu. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram