[VIDEO] Provokasi rupanya punca aksi bola sepak amatur di Terengganu jadi hangat


  • Podium
  • Ahad, 14 Jan 2024

Tangkap layar daripada video yang memaparkan pergaduhan ketika aksi bola sepak amatur di Terengganu baru-baru ini.

PERGADUHAN ketika aksi bola sepak sosial di Terengganu baru-baru ini sekali lagi mencalarkan imej sukan itu kerana ia bukan kali pertama insiden sebegitu tercetus.

Berdasarkan video yang tular di media sosia, kejadian berlaku di Padang Sintetik, Kompleks Sukan Gong Badak, Kuala Nerus, Terengganu pada Jumaat melibatkan beberapa pemain.

BACA LAGI: [VIDEO] Giliran pemain amatur Terengganu pula buat hal, siap tibai kepala bapak player

Berdasarkan laporan polis dibuat pengurus pasukan NAG FC pada hari yang sama, kekecohan berlaku apabila pemain no 5 NAG FC ditanduk dengan sengaja oleh lawannya daripada pasukan KESA FC Besut sehingga terjatuh.

Situasi menjadi semakin parah apabila seorang pemain KESA FC bertindak menumbuk lawannya sebelum menyaksikan beberapa pemain lain hadir dan cuba meleraikan keadaan.

Pergaduhan itu kemudiannya memaksa pengadil perlawanan menghentikan permainan dalam usaha menenangkan keadaan, namun gagal kerana terdapat individu lain yang turut masuk campur.

Berdasarkan laporan, salah seorang daripada pegawai NAG FC, Ronny Irwan Husni mengalami kecederaan di kepala sehingga perlu diberikan lima jahitan di kening dan enam jahitan di belakang kepala.

Kes tersebut kemudiannya menerima tumpuan Liga Bola Sepak Terengganu (TFL) yang akan tampil membantu siasatan di samping menyatakan rasa simpati terhadap mangsa terlibat.

Dalam pada itu, polis Terengganu pada Ahad melaporkan tiga pegawai dan pemain yang masing-masing berusia lingkungan 20-an hingga 40-an sudah ditahan bagi membantu siasatan.

Ketua Polis Negeri, Datuk Mazli Mazlan berkata, beberapa lagi tangkapan akan dibuat dan kes disiasat mengikut Seksyen 147 Kanun Keseksaan. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram