Insurans, takaful kenderaan dijangka naik 2 peratus, ramai risau kos sara hidup terus meningkat


  • Massa
  • Sabtu, 03 Feb 2024

Bermula 1 Mac depan, pemilik kenderaan dijangka akan merasai kenaikan dua peratus bagi perkhidmatan insuran dan takaful ekoran daripada pelaksanaan peningkatan cukai perkhidmatan tersebut. — Gambar hiasan

MENERUSI Belanjawan 2024, Kerajaan mengumumkan bahawa kadar cukai perkhidmatan akan ditingkatkan daripada enam kepada lapan peratus bermula 1 Mac depan.

Langkah itu dijangka memberikan kesan terhadap kebanyakan pengguna meskipun terdapat pengecualian bagi perkhidmatan kategori tertentu seperti makanan dan minuman (F&B) serta telekomunikasi.

Disebabkan itu, antara perkhidmatan lain yang turut dijangka mengalami kenaikan adalah servis penyelenggaraan dan pembaikan kenderaan.

Menurut laporan portal automotif tempatan, kenaikan tersebut bagaimanapun dijangka hanya melibatkan kos upah dan bukannya bahagian alat ganti yang digunakan.

Namun, paultan.org menyatakan bahawa selain daripada itu, terdapat kenaikan lain yang turut bakal dirasai oleh pengguna kenderaan di dalam negara iaitu melibatkan pembayaran insurans kenderaan.

Menurutnya, bermula 1 Mac depan, pemilik kenderaan dijangka merasai kenaikan dua peratus bagi perkhidmatan insurans dan takaful ekoran daripada peningkatan cukai perkhidmatan tersebut.

Ujarnya, perkembangan itu bakal melibatkan kesemua pengguna insurans am dan takaful memandangkan kedua-dua perkhidmatan itu tertakluk kepada cukai perkhidmatan.

Hasil tinjauan Majoriti di sosial media mendapati bahawa perkembangan tersebut ternyata reaksi yang bercampur baur dalam kalangan pengguna dengan ramai daripadanya melahirkan kerisauan berhubung perkembangan tersebut,

Bagi yang tidak bersetuju, mereka beranggapan langkah berkenaan dilihat bakal sedikit sebanyak memberikan kesan kewangan terhadap rakyat Malaysia khususnya dalam menangani kenaikan kos sara hidup.

Ini kerana pada waktu ini, terdapat beberapa dasar lain yang dijangka turut menyumbang kepada kenaikan harga barangan antaranya seperti penarikan subsidi yang akan mula dilaksanakan tidak lama lagi.

BACA LAGI: Kerajaan bakal naikkan kadar cukai perkhidmatan kepada 8 peratus

Interview three Petronas AutoExperts on their experience in running the Petronas service centres.  — RAJA FAISAL HISHAN/The Star.

Susulan langkah kerajaan untuk meningkatkan cukai perkhidmatan, antara perkhidmatan dijangka mengalami kenaikan adalah servis penyelenggaraan dan pembaikan kenderaan. — Gambar hiasan

BACA LAGI: Cukai 10 peratus barangan import online, ketahui fakta produk LVG yang terjejas

Pada masa, hal tersebut diburukkan lagi dengan isu kadar gaji dalam kalangan rakyat Malaysia yang disifatkan masih belum dirasai kenaikannya di sebalik beberapa usaha yang sudah dijalankan Kerajaan.

"Kalau semua naik seiring dengan kenaikan gaji dan bisnes ok jugak, tapi ini tidak," ujar Mohd Nazli A Bakar.

"Gaji sahaja yang tak naik-naik," tulis Park Burn.

Sementara itu bagi kumpulan yang tidak mempunyai masalah dengan kenaikan tersebut, mereka beranggapan bahawa peningkatan itu tidak begitu menjejaskan memandangkan bayaran insurans bukan sesuatu perbelanjaan yang dibuat setiap hari.

"Insurans kereta ni, bukan hari-hari kita beli. Paling tidak setahun sekali. Rata-rata kereta pun bukan mahal sangat. Paling kurang Toyota Vios, Honda City, Proton Saga, Perodua Myvi.

"Bantuan bukan main nak. Tapi bila bab cukai, menggeliat semua nak bayar," ujar reefear_ajang.

Dalam pada itu, seorang individu dipercayai ejen insurans berkongsikan pandangan bahawa peningkatan kadar insurans dan takaful sememangnya berlaku secara berkala dalam tempoh beberapa tahun.

"Tapi orang ramai tetap mencarum dengan mudah tanpa banyak soal sebab nak keluar cukai kenderaan untuk kenderaan kesayangan. Maklumlah kenderaan pun canggih-canggih.

"Memang ada yang melenting bila tahu kenaikan itu. Tapi mustahil untuk nak dapat lagi murah. Kos perubatan pun naik gila-gila setiap tahun," tulis Kamal Efandy. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram