Kuasa membeli rakyat masih tinggi walaupun cukai naik?


  • Massa
  • Ahad, 04 Feb 2024

Harga barang yang dijual dalam platform e-dagang dijangka akan lebih meningkat berbanding tahun sebelumnya.

MELAKUKAN pembelian dalam talian menggunakan platform e-dagang antara cara paling mudah untuk dilakukan pada era kini.

Dengan wujudnya pelbagai ciri dan teknologi serba canggih, pengguna tidak perlu mengeluarkan banyak tenaga untuk membeli-belah.

Antara platform e-dagang yang sering digunakan oleh masyarakat Malaysia termasuk aplikasi Shoppee, Lazada, TikTok dan sebagainya.

BACA LAGI : Cukai 10 peratus barangan import online, ketahui fakta produk LVG yang terjejas

msg1050426791-24198

Majoriti rakyat Malaysia dikatakan lebih gemar memilih membeli-belah secara dalam talian. — Gambar hiasan

Berdasarkan hasil kajian dilakukan Shopee pada 2022, lebih separuh daripada pembeli di platform Shopee melihat aktiviti membeli-belah dalam talian sebagai sesuatu bersifat lebih kekal.

Kajian tersebut juga mendapati bahawa majoriti rakyat di Malaysia lebih cenderung memilih untuk membeli barang secara dalam talian kerana lebih fleksibel dan selesa.

BACA LAGI : Pembelian produk import online bakal dikenakan cukai 10 peratus

Harga barang yang dijual secara dalam talian juga dikatakan lebih murah terutamanya apabila dapat menebus baucar atau diskaun.

Terbaharu, terdapat dakwaan mengatakan bahawa berlakunya peningkatan harga barang yang dijangka lebih tinggi berbanding tahun sebelumnya.

Ia dikatakan berlaku berpunca daripada empat perkara utama yang ditetapkan buat para pengguna mahupun peniaga secara dalam talian.

1) Cukai LGV

Pada Disember 2023, kerajaan mengumumkan akan mengenakan cukai jualan sebanyak 10 peratus ke atas barang bernilai rendah (LGV) yang dijual secara dalam talian bermula 1 Januari 2024.

Menurut Jabatan Kastam Diraja Malaysia (Kastam) cukai tersebut dikenakan ke atas barang berharga di bawah RM500.

Kastam juga mentakrifkan barang bernilai rendah sebagai semua barangan kecuali rokok, produk tembakau, minuman keras yang memabukkan, rokok elektronik atau penyediaan sama jenis digunakan untuk merokok yang dijual pada harga tidak lebih RM500.

msg1050426791-24197

Barangan tembakau seperti rokok atau rokok elektronik tidak lebih RM500 tidak termasuk dalam LGV. — Gambar hiasan

Pelaksanaan cukai itu sekali gus nampaknya memberi kekecewaan kepada orang ramai terutamanya yang gemar membeli barangan kecil dan murah dari luar negara.

Namun, ia dikatakan antara usaha positif dan memberangsangkan buat para peniaga tempatan dan dilihat dapat mendorong persaingan lebih adil.

Disebabkan itu, pengguna juga terpaksa berdepan dengan kenaikan harga terutamanya apabila membeli barang dari luar negara.

2) Cukai perkhidmatan kepada penjual

Setiap platform e-dagang semestinya mengenakan cukai terhadap penggunanya termasuklah penjual yang menggunakannya untuk mendapatkan hasil atau keuntungan.

Ia dipanggil sebagai Cukai Perkhidmatan yang dikenakan ke atas penjual barang tidak termasuk perkhidmatan seperti makanan, minuman dan telekomunikasi.

Namun, kerajaan juga pernah mengumumkan cadangan untuk menaikkan kadar cukai tersebut daripada enam peratus ke lapan peratus.

Menurut Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, ia sebagai salah satu langkah meningkatkan mutu perkhidmatan dan bantuan kepada rakyat.

Kenaikan kadar cukai berkenaan juga dilaporkan akan dilaksanakan bermula 1 Mac 2024.

3) Cukai perkhidmatan logistik

msg1050426791-24196

Perkhidmatan logistik juga dikenakan cukai. — Gambar hiasan

Tidak berhenti setakat itu, satu lagi cukai yang dikenakan dalam perkhidmatan e-dagang juga dikatakan antara punca kenaikan harga pembelian barang.

Cukai itu bukan sahaja dikenakan kepada penjual, malah ia juga terpakai kepada perkhidmatan logistik yang menjadi medium penghantaran barang kepada pembeli.

Cadangan kerajaan untuk memperluaskan cukai perkhidmatan kepada lapan peratus itu termasuk dalam kategori itu.

Tarikh pelaksanaanya turut dilaporkan sama dengan cukai perkhidmatan kepada penjual iaitu 1 Mac 2024.

4) Kelemahan nilai ringgit

msg1050426791-24195

Kelemahan nilai ringgit antara punca kepada kenaikan harga barang dalam platform itu. — Gambar hiasan

Selain itu, kelemahan atau kejatuhan nilai mata wang Malaysia dikatakan menjadi salah satu punca kenaikan harga.

Pada Jun 2023,nilai ringgit dilaporkan susut berbanding dolar Amerika Syarikat (AS) disebabkan kekurangan permintaan serta perpunca daripada petunjuk Indeks Dolar AS, minyak mentah Brent dan yuan China yang memaparkan kelemahan ringgit.

Namun, pada Disember 2023, ringgit dijangka akan lebih cenderung lebih naik berbanding dolar AS.

Malah, pada Selasa, ringgit dilaporkan semakin kukuh ketika pasaran memberi tumpuan terhadap mesyuarat dua hari Jawatankuasa Pasaran Terbuka Persekutuan (FOMC).

Walaupun ia dilihat seperti perkara yang membebankan, tetapi masih tidak dapat menjatuhkan mahupun mengurangkan kuasa membeli pengguna.

Menurut salah seorang pengguna tegar platform e-dagang, Nur Syamimi Balqis, 24, dia melihat punca berikut sebagai suatu perkara yang tidak dapat diatasi dengan mudah.

Katanya, kenaikan harga barang yang dijangka berlaku itu juga berkemungkinan tidak memberi kesan mendalam kerana keselesaan yang sudah bertapak lama sepanjang menggunakan perkhidmatan e-dagang.

"Orang akan merungut dan pertikai kenapa terlalu banyak cukai yang dikenakan tetapi mereka juga akan tetap membeli sebab ada keperluan. Jadi memang terpaksa juga beli menggunakan perkhidmatan itu," katanya kepada Majoriti.

Bukan itu sahaja, katanya, walaupun kenaikan harga barang dikenakan dalam platform itu, ia dikatakan masih tidak semahal seperti barangan yang dijual peniaga tempatan di kedai-kedai fizikal.

Tambahnya, tidak mustahil juga untuk berlaku penurunan harga barang, namun perkara itu dilihat sukar untuk dilakukan. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram