Kerajaan bakal naikkan kadar cukai perkhidmatan kepada 8 peratus


  • Primer
  • Jumaat, 13 Okt 2023

Anwar Ibrahim ketika membentangkan Belanjawan 2024 di Parlimen pada Jumaat.

KERAJAAN bercadang untuk menaikkan kadar Cukai Perkhidmatan kepada lapan peratus berbanding enam peratus pada ketika ini.

Bagi tidak membebankan rakyat, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, peningkatan itu tidak termasuk perkhidmatan seperti makanan dan minuman serta telekomunikasi.

"Kerajaan juga akan meluaskan skop perkhidmatan bercukai meliputi perkhidmatan logistik, pembrokeran, penajajaminan dan karaoke," katanya ketika membentangkan Belanjawan 2024 di Parlimen pada Jumaat.

Anwar memberitahu, setelah mengambil kira input pihak-pihak berkepentingan melalui sesi libat urus yang diadakan, kerajaan akan menguatkuasakan pelaksanaan Cukai Keuntungan Modal bagi pelupusan saham tidak tersenarai oleh syarikat tempatan berdasarkan keuntungan bersih pada kadar 10 peratus mulai 1 Mac 2024.

Tambahnya lagi, kerajaan turut mempertimbangkan pengecualian Cukai Keuntungan Modal ke atas pelupusan saham berkaitan aktiviti tertentu seperti Initial Public Offering (IPO) yang diluluskan, penstrukturan dalaman dan syarikat modal teroka tertakluk kepada syarat ditetapkan.

"Kerajaan akan menggubal perundangan baharu bagi melaksanakan Cukai Barang Bernilai Tinggi pada kadar lima hingga 10 peratus ke atas barang bernilai tinggi tertentu seperti barang kemas dan jam tangan berdasarkan nilai ambang harga barangan," ujarnya.

Beliau berkata, Malaysia perlu seiring dengan piawaian percukaian antarabangsa khususnya dalam mengekang aktiviti penghakisan asas cukai dan pemindahan keuntungan ke negara yang mempunyai kadar cukai yang rendah.

"Mengambil kira maklum balas daripada industri dan perkembangan terkini antarabangsa, kerajaan dijangka melaksanakan cukai minimum global pada tahun 2025 dan hanya terpakai kepada syarikat yang mempunyai pendapatan global sekurang-kurangnya 750 juta EURO.

"Kerajaan juga akan terus memantau perkembangan cukai minimum global di peringkat antarabangsa," ujarnya. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram