'What is this?' Fans Santos buat berlagak kelab umum aksi pramusim lawan Kedah


  • Podium
  • Jumaat, 02 Feb 2024

Santos bakal membuat kemunculan di Asia pada Februari 2024.

SAINGAN Liga Super masih belum bermula dengan musim baharu hanya akan berjalan pada bulan Mei. Namun begitu, setiap kelab sedang rancak melakukan persiapan.

Apa yang menarik adalah kelab Utara, Kedah Darul Aman FC mencipta kejutan akan mengadakan sebuah perlawanan persahabatan pra-musim bersama kelab Brazil.

Kelab yang dimaksudkan adalah Santos, gergasi bola sepak Brazil yang pernah menghasilkan bintang bertaraf dunia seperti Neymar.

Menurut Santos, Kedah merupakan sebahagian daripada empat kelab yang bakal ditentang mereka dalam siri jelajah Malaysia dan juga Qatar.

Santos akan berdepan Shanghai Shenhua (China), Al Duhail (Qatar) serta Zenit St. Petersburg (Rusia) dalam sebuah kejohanan persahabatan iaitu Equality Club.

Selepas selesai tugasan dalam kejohanan itu, Santos akan terbang ke Alor Setar, Kedah bagi berdepan Sang Kenari dalam aksi persahabatan di Stadium Darul Aman yang dijangka akan diadakan pada 17 Februari kelak.

BACA LAGI: Enam pemain import atas padang, impian 3 kelab 'bajet ciput' bagai bermimpi siang hari

BACA LAGI: [VIDEO] Sabah jadi destinasi terbaik Brendan Gan lepas jodoh bersama Selangor berakhir

Melihat kepada keputusan Santos untuk beraksi bertemu Kedah, ia mengundang persoalan sinis oleh penyokong mereka yang terpaksa menanggung malu jatuh ke divisyen bawahan Brazil buat pertama kali dalam sejarah kelab musim lalu.

"Apa ini? Siapa Kedah kalau nak dibandingkan dengan kita?" soal penyokong Santos bernama Lucas Yukio Imafuko.

"Saya gelak kuat sangat sampaikan saya rasa nak menangis," ujar Gabriel Nalin pula.

"Kedah?" soal Daniel Adelino dengan rasa lagak.

Walaupun ada yang memperkecil Sang Kenari, tetapi keputusan Santos untuk menjelajah dunia dan berlawan menentang pasukan-pasukan lain turut diterima baik oleh penyokong mereka.

"Saya sudah katakan yang Santos perlu menjelajah dunia dan menyertai kejohanan. Nikmatilah itu kerana tak banyak perlawanan dan pertandingan di Brazil," kata penyokong bernama Luiz Otavio.

"Peluang terbaik untuk mendapatkan lebih banyak wang," ujar Felice Moraes.

"Keputusan yang sangat penting untuk mempromosikan jenama kelab ke luar negara. Keputusan bijak yang dilakukan oleh bahagian pengurusan dan pemasaran kelab," komen Luiz Antonio Garcia.

Untuk rekod, Kedah pernah berdepan pasukan pilihan Brazil dalam sebuah perlawanan amal di Alor Setar pada 2008. Ketika itu, Sang Kenari tewas 1-4. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram