CEO Sang Kenari sah letak jawatan, fans resah siapa bakal duduk kerusi ‘panas’


  • Podium
  • Khamis, 01 Feb 2024

Khamal (naju hijau) meletakkan jawatan pada Khamis selepas empat tahun berkhidmat sebagai CEO KDA FC.

KELAB Liga Super, Kedah Darul Aman FC dikejutkan dengan perletakan jawatan Ketua Pegawai Eksekutif, Khamal Idris Ali pada Khamis.

Dalam kenyataan yang dikeluarkan oleh pihak kelab, Khamal mengundurkan diri selepas empat tahu mengemudi pengurusan Sang Kenari dengan pengganti masih belum dapat dipastikan.

"Lembaga Pengarah Kedah Darulaman Football Club (KDA FC) pada Khamis mengumumkan, Encik Khamal Idris Haji Ali telah meletakkan jawatan sebagai Ketua Pegawai Eksekutif KDA FC bagi memberi tumpuan sepenuhnya pada perniagaan beliau setelah 4 tahun menabur bakti," kata Kedah dalam kenyataan rasmi mereka.

Rentetan perletakan jawatan Khamal, majoriti peminat bola sepak Sang Kenari mula berteka-teki siapa yang bakal menduduki kerusi 'panas' tersebut terutamanya apabila Kedah berpotensi untuk tidak dapat beraksi dalam saingan Liga Super 2024/2025 seandainya mereka tidak menyelesaikan isu tunggakan gaji para pemain selama empat bulan sebelum ini.

BACA LAGI: 'Dalam masa terdekat', isu tunggakan gaji Kedah akan diketahui, tak mustahil senasib Kelantan

BACA LAGI: Pernah bersama Aidil di Kedah, bintang Piala Asia Jordan akan 'reunion' di Kuching City?

Sang Kenari dilaporkan diberi tempoh sehingga 31 Januari untuk menyelesaikan perkara tersebut. Kini, tarikh 'ajal' yang diberikan telah pun tamat, namun masih belum ada perkembangan positif mengenai isu tersebut.

Jika tiada sebarang perubahan, Kedah boleh berdepan hukuman keras daripada pihak Malaysian Football League (MFL) sama ada dikenakan sekatan perpindahan, potongan mata atau lebih teruk dihumban keluar daripada Liga Super.

Buat masa sekarang, badan penganjur liga itu masih belum mengeluarkan sebarang kenyataan mengenai situasi dialami Kedah.

Difahamkan, nasib Kedah bergantung kepada keputusan bahagian pelesenan MFL yang sedang memperhalus situasi mereka dan satu kenyataan rasmi dijangka dikeluarkan dalam masa terdekat. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram