NAMA Baddrol Bakhtiar akan sentiasa mekar dalam sejarah bola sepak moden Malaysia sebagai antara pemain tengah terbaik pernah dihasilkan negara.
Legasinya mungkin lebih sinonim dengan Kedah Darul Aman FC di mana dia menghabiskan majoriti kariernya bersama-sama Sang Kenari sebelum berhijrah ke Sabah FC dan menghabiskan kariernya di sana.
Akan tetapi, bersama-sama skuad kebangsaan, Baddrol tetapi mempunyai detik indah yang akan sentiasa dikenang oleh seluruh penyokong Harimau Malaya.
Jasa terbesar Baddrol ketika mewakili negara adalah apabila dia berjaya memimpin skuad Sukan SEA Malaysia mengekalkan pingat emas dalam acara bola sepak temasya tersebut pada 2011.
Hadir dengan misi mempertahankan pingat emas yang dimenangi pada temasya edisi 2009, Baddrol dan Malaysia berdepan cabaran sengit bertemu Indonesia di perlawanan akhir.
Malaysia bermula goyah apabila mereka ketinggalan menerusi gol Gunawan Dwi Cahyo pada minit ke-5 sebelum Asrarudin Putra Omar menyamakan kedudukan pada minit ke-34.
Keputusan 1-1 itu kekal sehingga masa sebenar permainan dan masa tambahan. Pemenang terpaksa dicari menerusi penentuan sepakan penalti.
BACA LAGI: Letak emoji mata ke atas, Hai-O 'no komen' dikata tak setuju pemain import 'ganggu' Piala MFL
BACA LAGI: CEO Sang Kenari sah letak jawatan, fans resah siapa bakal duduk kerusi ‘panas’
Selepas sepakan kelima oleh Ferdinand Sinaga gagal menembusi pintu gol dikawal oleh Khairul Fahmi Che Mat, peluang terbuka untuk Malaysia memenangi perlawanan sekali gus mengekalkan pingat emas.
Baddrol muncul sebagai penendang kelima dan walaupun sepakannya berjaya disentuh oleh penjaga gol Indonesia tetapi bola tetap bergolek melepasi garisan gol sekali gus menerjah jaring.
Sepakan Baddrol itu nyata mengecewakan jutaan penyokong Garuda baik yang menonton di Stadium Gelora Bung Karno, Jakarta atau di serata Indonesia.
Melangkah ke hari ini, Baddrol tidak lagi bermain bola sepak dengan dia sudah terjun ke dunia politik dan menjadi Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kedah di kawasan Gurun.
Dengan 1 Februari merupakan tarikh istimewa buat Baddrol kerana ia adalah hari kelahiran dirinya, dia juga dijangka akan menimang cahaya mata yang ketiga apabila dilaporkan menemani isterinya di hospital sambil memuat naik kapsyen "Semoga dipermudahkan segala urusan isteriku".
Selamat hari lahir buat legenda Baddrol Bakhtiar, legasinya dalam bola sepak Malaysia akan sentiasa dikenang sampai bila-bila. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram