[VIDEO] Sabah jadi destinasi terbaik Brendan Gan lepas jodoh bersama Selangor berakhir


  • Podium
  • Khamis, 01 Feb 2024

Brendan menyumbang 14 jaringan serta 12 bantuan gol untuk Selangor.  — Instagram/BrendanGan

PEMAIN ke-12 Selangor FC pastinya menitiskan air mata apabila ketua pasukan, Brendan Gan disahkan tidak meneruskan perjuangan bersama skuad Gergasi Merah untuk musim 2024/2025.

Perkara tersebut diumumkan menerusi media sosial rasmi Selangor FC dengan kelab tersebut merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada pemain tengah itu selepas menabur bakti selama empat musim bersama Gergasi Merah sejak menyertainya pada Disember 2019.

Sepanjang empat musim menyarung jersi Merah Kuning, pemain kacukan Australia-Malaysia itu menyumbang 14 jaringan serta 12 bantuan gol, selain diberi kepercayaan untuk menyarung lilitan kapten Selangor FC.

Antara jaringan ikonik Brendan yang akan kekal diingati penyokong Gergasi Merah ialah apabila dia hanya memerlukan tujuh minit untuk menjaringkan gol sulung selepas kembali bangkit daripada kanser dalam kemenangan besar 7-0 menentang Sarawak pada 2022.

Brendan disahkan menghidap kanser testis pada Julai 2021 dan selepas bertarung serta menjalani sesi pemulihan selama 12 bulan, pemain itu akhirnya kembali bangkit daripada kanser pada 19 September 2022.

Selain itu, pemain berusia 35 tahun itu juga merupakan watak utama yang membawa Selangor ke pentas Asia apabila assist ke-12 Brendan membantu Selangor membenam Kedah Darul Aman FC untuk mengesahkan kelayakan pasukan ke Liga Juara-Juara AFC 2 (ACL 2) 2024.

BACA LAGI: Skuad penuh Selangor diketahui bulan depan, masa depan Brendan Gan masih misteri

BACA LAGI: Cinta kembali bersatu, pemain kacukan Australia antara bintang bakal pacu majikan lama

Perpisahan Brendan dari Selangor ini dalam diam memberi senyuman kepada penyokong Sabah FC yang berharap agar bekas pemain The Rhinos itu akan kembali memperkuatkan jentera tengah pasukan menjelang musim baharu.

“Sabah boleh sambar Brendan Gan untuk bantu Sabah FC dalam pertandingan AFC nanti menentang kelab Australia,” kata penyokong The Rhinos, David Liau.

“Sesuai ini Brendan berganding dengan Cifu (Miguel Cifuentes) dan Stuart Wilkin di bahagian tengah,” pinta penyokong Sabah FC, Rickly Nell.

Sekiranya Brendan menyarung jersi The Rhinos, jeneral tengah itu juga berkesempatan untuk beraksi di pentas Asia dengan Sabah kini masih berjuang di saingan Piala AFC dan bakal menentang pasukan gergasi Australia, Macarthur bagi aksi pusingan kalah mati zon Asean.

Dalam perkembangan berbeza, pemerhati sukan, Zulhelmi Zainal Azam memberi kemungkinan tonggak kebangsaan itu akan berhijrah ke Australia.

“Ada kemungkinan walaupun usianya sudah mencecah 36 tahun tetapi Brendan tetap Brendan. Kalendar perpindahan A-League sudah dibuka pada 7 Januari 2024 dan berakhir 7 Februari 2024.

“Liga Australia sangat kompetitif, melihat kepada situasi ini, mungkin beliau (Brendan) balik kampung, kita tidak tahu sama ada beliau ditawarkan kontrak di sana atau tidak tetapi beliau masih relevan beraksi di mana sahaja,” katanya seperti dilaporkan Nadi Arena. Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram