'Ini tahap pendidikan kita', netizen bingung soalan tak masuk akal perlu dijawab pelajar sekolah


  • Massa
  • Isnin, 29 Jan 2024

Tangkap layar soalan tular di media sosial yang dipercayai digunakan untuk murid sekolah. — Facebook

SEJAK beberapa tahun lalu, isu silibus pembelajaran terutamanya membabitkan murid sekolah rendah menjadi antara perkara utama yang dibincangkan dalam kalangan bukan sahaja ibu bapa tetapi juga ahli akademik di dalam negara.

Ini kerana rata-rata daripada pihak berpandangan bahawa silibus diterapkan bagi pendidikan awal golongan tersebut adalah terlalu berat dan sukar bagi tahap umur mereka.

Malah, dalam tempoh tersebut, berlaku beberapa insiden tular memaparkan tangkap layar soalan diberikan terhadap murid sekolah rendah yang disifatkan tidak sesuai dan terlalu sukar untuk umur kumpulan berkenaan.

Malah, ada juga isu melibatkan soalan ujian yang langsung tidak masuk akal untuk dijawab.

Terbaharu, tular satu lagi tangkap layar soalan dipercayai digunakan kepada murid sekolah rendah dan menimbulkan tanda tanya dalam kalangan warganet.

Menerusi soalan tersebut, murid diminta menilai gaya pemakanan seseorang individu berdasarkan bentuk dan saiz tubuh.

Lebih spesifik, soalan itu meminta pelajar bagi menilai bentuk dan saiz tubuh individu yang memiliki tabiat suka makan daging dan tidak gemar untuk menikmati sayuran.

Daripada empat pilihan jawapan yang diberikan, jawapan yang betul berdasarkan tangkap layar terbabit adalah individu yang memiliki saiz badan paling besar berbanding pilihan lain.

BACA LAGI: Soalan ujian Sains tak masuk akal hanya buat pelajar hilang minat — Pakar

BACA LAGI: Ibu bapa mengeluh silibus sekolah rendah sukar, murid gagal kuasai kemahiran asas

Di ruangan komen, rata-rata netizen berpandangan soalan tersebut dilihat bukan sahaja tidak masuk akal untuk dijawab, tetapi juga memberikan pemahaman yang salah kepada murid.

"Inilah standard pendidikan kita," tulis Shanker Raju.

"Saya selaku dietitian juga tak tercapai penaakuan dan penarifan begini," tulis Ain Azizan.

"Guru terlatih sepatutnya sudah tahu membentuk soalan yang sesuai untuk murid," tulis No Az Arshad.

Sementara itu, terdapat juga seorang pengguna Facebook yang dipercayai merupakan bekas penggubal soalan di Lembaga Peperiksaan Malaysia (LPM) turut mempersoalkan mengenai kewajaran soalan terbabit.

Menurut Al Mumin Al Kanta, soalan dikemukakan di dalam tangkap layar itu bukan sahaja memberikan pilihan jawapan yang salah tetapi juga mengunakan konsep yang tidak betul.

"Makan daging bukan punca kegemukan. Gemuk tak gemuk bergantung kepada nilai kalori yang ditelan. Makan ikan besar jari kelingking tambah sayur semangkuk, kalau nasinya 1 kilgoram, pasti naik berat badan juga.

"Pilihan jawapan dah terang-terang salah. A, B dan D tak banyak beza. Ada org berbadan besar bukan sebab banyak lemak tapi sebab tulang rangka besar," tulisnya di Facebook ketika mengulas isu itu pada Isnin.

Menurutnya, dalam proses pembinaan soalan, terdapat dua jenis bentuk soalan yang perlu dibezakan khususnya dalam kalangan guru.

Dua pembahagian itu melibatkan soalan untuk ujian atau pentaksiran dan soalan digubal bertujuan bagi proses pengajaran dan pembelajaran (PdP) di kelas.

"Soalan PdP lain sikit laras atau arahan soalannya berbanding soalan pentaksiran atau peperiksaan. Soalan PdP ialah soalan utk membantu murid menguasai manakala soalan pentaksiran dan peperiksaan menguji apa yg telah dikuasai.

"Kena pandai beza dua ni sebab majoriti guru guna soalan peperiksaan dalam PdP," jelasnya.

Dalam pada itu, terdapat juga seorang warganet yang meminta agar Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) memantau soalan penggunaan soalan yang digunakan dalam pembelajaran murid di sekolah. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram