Topik tak sesuai ikut umur, ibu bapa mohon KPM kaji semula silibus darjah 1


  • Massa
  • Isnin, 03 Jul 2023

Topik yang terdapat dalam sesetengah silibus dilihat tidak sepadan dengan kemampuan anak-anak untuk belajar. — Bernama

ISU silibus pembelajaran murid sekolah rendah tahap satu berada di tahap luar kemampuan mereka sebenarnya bukanlah isu baharu.

Malah terdapat ramai pakar dalam bidang pendidikan yang pernah membangkitkan hal tersebut sebelum ini.

Antaranya, Pensyarah Fakulti Pendidikan Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Profesor Madya Dr Hasnah Toran dilaporkan berkata, silibus murid di tahap satu kini terlalu rumit dan tidak bersesuaian dengan daya intelektual mereka.

Sedangkan katanya, murid di tahap satu sebenarnya perlu terlebih dahulu menguasai kemahiran asas seperti mengira dan mengeja terlebih dahulu.

Situasi itu menambahkan cabaran buat guru-guru yang perlu berdepan dengan kepelbagaian tahap kemampuan murid di dalam sesebuah kelas.

Selain guru, ia sebenarnya juga boleh dianggap satu tekanan buat ibu bapa di rumah yang perlu turut membantu anak mereka menyiapkan kerja rumah yang diberikan oleh guru.

Menerusi satu ruangan komen di Facebook, rata-rata ibu bapa mengakui, topik yang terdapat dalam sesetengah silibus dilihat tidak sepadan dengan kemampuan anak-anak untuk belajar.

“Kita kata silibus tinggi sebab topik tersebut tak sesuai dengan umur budak. Saya sebagai parents (kepada) anak darjah satu pening nak fahamkan anak yang topiknya mungkin tingkatan satu baru saya belajar.

LABUAN, Oct 13 -- A school student is seen wearing a face mask while returning home, outside the Sekolah Menengah Kebangsaan Pantai, today. Labuan schools are operating as usual despite the low students turnout, as parents are concerned of COVID-19 case hikes in this island.--fotoBERNAMA (2020) COPYRIGHTS RESERVED

KPM digesa mengkaji semula silibus pembelajaran murid sekolah rendah.

“Contoh pendidikan seni. Kenapa budak-budak darjah satu sekarang semua kelengkapan dah kena beli macam-macam seperti buku skrap, kertas busa dan sebagainya. Anak pun tak faham lagi apa benda tu.

“Satu hal pula mak ayahnya kena mencari dan bukan budak yang buat sebab mereka tak reti buat. Pulak tu buat di rumah. Bukan buat di sekolah, ibu bapa pula kena ajar anak.

“Matematiknya pula ayatnya berjela-jela. Dulu matematik belajar nombor, bukan belajar buat ayat panjang-panjang. Hafal sifir saja. Ni bila tanya anak saya dekat sekolah tak hafal sifir ke? Dia tanya kita balik sifir tu apa,” kata Nora Yusof.

Sementara itu, seorang bapa yang juga merupakan bekas guru, Ramli Mohammad berpandangan, silibus yang terlalu sukar menyebabkan lebih ramai murid tercicir dalam pembelajaran.

“Kalau hendak kata silibus yang dipelajari oleh murid-murid adalah tinggi, saya sebagai ibu bapa dan bekas seorang guru amat menyokongnya (kerana ia) 100 peratus tepat dan betul.

“Semua pihak boleh lihat buku teks anak masing-masing dan cuba buat penilaian sama ada silibus pelajaran sepadan dengan kemampuan anak-anak untuk belajar.

“Kesan ini juga telah terbawa kepada (isu) mengapa 30,000 pelajar tidak mahu mengambil SPM kerana mereka tidak bersedia (selain daripada faktor sosio-ekonomi).

“Justeru KPM (Kementerian Pendidikan Malaysia) perlu memandang serius tentang kesan akibat daripada silibus berat dan banyak subjek yang terpaksa dipelajari oleh murid-murid pada hari ini,” katanya. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram