UPSR dan PT3 bukan penyelesaian tapi kurangkan beban guru antara langkah 'pulihkan' prestasi sains dan matematik di sekolah


  • Massa
  • Khamis, 25 Jan 2024

Hasil kajian PISA 2022 menyaksikan Malaysia merekodkan penurunan sebanyak 6.26 peratus dengan skor merosot daripada 431 pada 2018 kepada 404 (2022). — Gambar hiasan

HASIL kajian Program Pentaksiran Pelajar Antarabangsa (PISA) 2022 menyaksikan berlakunya penurunan skor membabitkan kesemua negara di Asia Tenggara.

Bagaimanapun, di antara kesemua negara yang dinilai di rantau ini, Malaysia merekodkan penurunan terbesar berbanding negara seperti Indonesia, Thailand dan Vietnam.

Secara umumnya, skor Pisa 2022 di peringkat global merekodkan kejatuhan berbanding 2018 apabila rata-rata negara bergelut menghadapi kesan daripada penularan wabak Covid-19.

Ia antara lain berpunca daripada pelaksananan pelajaran dalam talian dan pengurangan waktu pembelajaran.

Malaysia turut tidak terkecuali daripada menerima tempias akibat daripada situasi berkenaan.

Di Asia Tenggara, skor keseluruhan Indonesia dan Thailand masing-masing menurun sebanyak 4.09 peratus dan 4.36 peratus.

Sementara itu, Malaysia merekodkan penurunan sebanyak 6.26 peratus dengan skor merosot daripada 431 pada 2018 kepada 404 (2022).

Singapura kekal berada di kedudukan teratas di rantau ini manakala Brunei berjaya mencatatkan lonjakan paling ketara dengan peningkatan skor daripada 423 kepada 439 (3.78 peratus).

Untuk rekod, PISA merupakan kajian yang memberikan penilaian terhadap tiga domain utama dalam pendidikan di sekolah iaitu literasi bacaan, Matematik dan Saintifik.

Disebabkan itu, kemerosotan skor Malaysia dalam kajian tersebut pastinya menimbulkan kebimbangan dalam kalangan rakyat Malaysia mengenai tahap dan kualiti pendidikan di dalam negara.

Tambahan pula, hasil kajian terbaharu itu menyaksikan prestasi literasi bacaan mencatatkan skor yang paling rendah iaitu 373 berbanding 402 (2018).

Pada masa sama, terdapat juga segelintir warganet yang mula mencadangkan agar Kerajaan mempertimbangkan semula pengenalan Ujian Penilaian Sekolah Rendah (UPSR) dan Pentaksiran Tingakatan Tiga (PT3).

1748957

Pensyarah Pusat Kajian Pendidikan dan Kesejahteraan Komuniti UKM, Dr Anuar Ahmad.

BACA LAGI: Dapatan awal KPM dedah UPSR sekat peluang murid aktif bidang selain akademik

Ini kerana menurut mereka, tindakan pemansuhan kedua-dua peperiksaan tersebut dilihat menjadi antara punca kemerosotan penguasaan murid di Malaysia.

Bagaimanapun, Pensyarah Pusat Kajian Pendidikan dan Kesejahteraan Komuniti Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Dr Anuar Ahmad berkata, penurunan skor Malaysia pada PISA tidak mempunyai kaitan dengan impak pemansuhan UPSR atau PMR.

"Sebabnya pemansuhan UPSR dan itu berlaku pada 2021 dan 2022 sedangkan PISA itu dinilai pada 2022.

"Jadi sebenarnya kesan pemansuhan itu kita tidak nampak lagi dan ia tidak kena-mengena mengena dengan pemansuhan UPSR dan PT3," katanya kepada Majoriti.

Sehubungan itu, untuk memperbaiki skor Malaysia dalam penilaian PISA seterusnya, Anuar menggariskan beberapa perkara perlu ditambah baik di dalam sistem pendidikan negara.

1. Perbaiki silibus sekolah rendah

Anuar berkata, kemerosotan yang dalam penilaian PISA 2022 berpunca antara lain disebabkan kaedah pengajaran dan pembelajaran dilihat tidak begitu membantu membentuk minat murid khususnya terhadap subjek sains dan matematik.

Menurut beliau, pada ketika ini, silibus yang digunakan dilihat agak berat dan banyak.

"Di negara maju, kurikulum yang digunakan terhadap murid yang berada di darjah satu dan dua tidak begitu berat. Sebabnya mereka nak pastikan dahulu agar murid mereka minat dengan sains dan matematik.

"Jadi pada saya, bila kita bagi silibus terlalu banyak, ia menyebabkan murid merasakan itu membebankan mereka dan hilangkan keseronokan mereka untuk belajar," ujarnya.

2. Teruskan program intervensi pelajar tercicir

Dalam pada itu, Anuar berkata, kemerosotan kedudukan negara dalam PISA 2022 dilihat secara langsung memberikan gambaran bahawa langkah intervensi yang dilakukan kerajaan ketika pandemik tidak benar-benar berkesan dalam membantu menangani isu keciciran murid yang berlaku semasa pandemik Covid-19.

"Kalau kita lihat negara yang negara meningkat (kedudukan PISA) atau kemerosotannya tidak begitu ketara seperti Singapura dan Brunei, mereka berjaya dalam langkahnya untuk lakukan pemulihan segera.

"Itu dilakukan melalui penambahbaikan yang dibuat terhadap pengajaran mereka khususnya bagi meningkatkan tingkatkan penguasaan murid dalam subjek sains dan matematik," katanya.

1748950

Penularan pandemik menyebabkan ramai murid mengalami keciciran pendidikan ekoran daripada pengurangan waktu sesi pembelajaran. — Gambar hiasan

BACA LAGI: Tak percayakan sistem pendidikan awam, 'guru KPM' luah lebih rela hantar anak ke sekolah swasta

Sehubungan itu, Anuar berkata, Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) bukan sahaja mengenal pasti kumpulan murid yang tercicir, tetapi juga meneruskan proses intervensi dilakukan sebelum ini dengan lebih baik.

"Pemulihan itu tak boleh berhenti setakat dua bulan tiga bulan. Ada pelajar yang perlukan masa panjang untuk kita tingkatkan contohnyaa kemahiran membaca menulis dan mengira.

"Jadi kita harapkan program intervensi yang dilaksanakan pada 2021 dan 2022 diteruskan pada semua pelajar yang didapati hadapi keciciran pembelajaran," katanya.

3. Selesai isu beban tugas guru

Dalam pada itu, bagi meningkatkan keberkesanan dalam pendidikan negara, kualiti guru merupakan elemen penting yang perlu ditekankan.

Untuk itu, bagaimanapun, beliau berkata, prestasi guru sangat dipengaruhi oleh keadaan di sekolah khususnya dalam isu melibatkan bebanan tugasan.

"Sebagai contoh, ada guru yang masih dibebankan dengan beban tugasan bukan pembelajaran seperti tanggungjawab melaksanakan program, buat pertandingan dan isi borang yang pelbagai.

"Bila jadi macam ini, masa mereka untuk rancang pembelajaran jadi terhad sedangkan untuk tingkatkan kualiti pengajaran mereka perlukan masa dalam proses dari segi perancangan pembelajaran.

Anuar berkata, isu bebanan tugas itu masih menghantui golongan guru meskipun KPM sudah memperkenalkan tujuh langkah baharu bagi menangani isu tersebut.

Ujarnya, situasi itu berlaku kerana pelaksanaan langkah itu dilihat masih tidak menyeluruh.

"Saya dimaklumkan masih ada pihak sekolah yang antaranya terus mengadakan program dan minta guru menyediakan rancangan pembelajaran yang panjang.

"Ada juga ada juga guru diminta jadi pengawas peperiksaan dan sebagainya walaupun telah dinyatakan dengan jelas dalam peraturan itu," ujarnya. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram