Ibu bapa mengeluh silibus sekolah rendah sukar, murid gagal kuasai kemahiran asas


  • Massa
  • Sabtu, 29 Okt 2022

Terdapat murid sekolah rendah tidak mampu menulis, membaca dan mengira dengan baik.

SILIBUS murid sekolah rendah terutamanya Tahun 1 hingga 3 mendapat perhatian ibu bapa termasuk guru selepas dikatakan terlalu ke depan dan berat untuk dipelajari di sekolah.

Isu ini timbul selepas ibu bapa menyuarakan pandangan anak-anak gagal menguasai kemahiran asas seperti membaca, menulis dan mengira walaupun sudah berada di Tahun 3.

1463148

Dr Anuar Ahmad

Pensyarah Pusat Kajian Pendidikan dan Kesejahteraan Komuniti Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Dr Anuar Ahmad berkata, terdapat beberapa perkara yang menyebabkan isu ini semakin panas dibincangkan.

"Saya berpandangan, perkara ini berlaku selepas negara kita dilanda wabak Covid-19 yang menyebabkan sekolah terpaksa ditutup selama dua tahun.

"Peranan ibu bapa telah bertukar menjadi guru di rumah menyebabkan berlaku sedikit kesukaran untuk mengajar anak-anak dalam tempoh tersebut. Ini secara tidak langsung menyebabkan mereka menyedari silibus murid sekolah rendah agak sukar dan berat untuk difahami.

"Dalam tempoh dua tahun itu membuka perspektif baharu kepada ibu bapa mengalas tanggungjawab menjadi seorang guru. Sementara guru pula merupakan individu yang terlatih dan berpengalaman dalam proses pengajaran dan pembelajaran," katanya kepada Majoriti.

Tambah Anuar, pandangan ibu bapa dan guru dalam isu ini tidak salah kerana mereka lebih memahami tahap pendidikan murid serta individu paling rapat dengan mereka.

"Bagaimanapun, isu ini juga tidak harus disalahkan sepenuhnya kepada mana-mana pihak sebaliknya mencari jalan penyelesaian terbaik untuk membantu murid mendapatkan pendidikan sewajarnya.

"Pada masa sama, ibu bapa harus faham mengenai silibus pendidikan yang dikatakan berat untuk anak-anak mereka. Silibus ini digubal pada tahun 2017 sebelum wabak Covid-19 melanda.

"Penggubal silibus tidak menjangka Covid-19 atau bencara buruk akan melanda negara jadi silibus yang dibuat berdasarkan ketetapan yang dipersetujui," jelasnya.

1384107

Isu keciciran berlaku selepas sekolah terpaksa ditutup ketika wabak Covid19 melanda negara.

Kata Anuar, masalah yang timbul apabila murid Tahun 3 ketika ini tidak mendapatkan pendidikan sempurna selepas dua tahun sekolah ditutup.

"Bayangkan murid Tahun 3 pada tahun ini terpaksa belajar sedangkan mereka tidak mendapat pendidikan formal yang sempurna pada Tahun 1 dan 2.

"Ia secara tidak langsung menyebabkan berlaku kesukaran kepada murid tersebut memahami kerana tidak memiliki asas pendidikan seperti menulis, membaca dan mengira dengan baik yang sepatutnya diajar pada Tahun 1 dan 2," katanya.

Anuar memberitahu, terdapat beberapa langkah yang boleh diambil bagi menyelesaikan isu keciciran pelajar seperti yang dihadapi ketika ini.

"Pihak berwajib boleh menjalankan program pemulihan bagi melakukan pengesanan atau mengenal pasti murid yang tercicir supaya dapat membantu mereka selain menilai semula silibus yang digunakan ketika ini.

"Program lantikan guru pembantu juga mampu membantu mengurangkan beban guru untuk mengajar dan selain dapat memberi fokus kepada murid yang lemah.

"Terakhir adalah program sokongan yang akan memberi motivasi dan latihan kepada murid berprestasi rendah untuk terus berjaya," jelasnya.— Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram