Tak tahan malu seri dengan Malaysia, fans Korea Selatan mahu Kim Pan-gon ganti Jurgen Klinsmann


  • Podium
  • Jumaat, 26 Jan 2024

Klinsmann menjadi sasaran kecaman selepas seri 3-3 lawan Malaysia.

MALAYSIA telah menamatkan perjalanan mereka dalam saingan Piala Asia 2023 selepas mengharungi tiga perlawanan berdepan Jordan, Bahrain dan Korea Selatan.

Walaupun tidak berhasil untuk layak ke pusingan seterusnya, tetapi skuad Kim Pan-gon berjaya untuk memberikan persembahan terpuji sewaktu berdepan Korea Selatan hingga mereka berjaya seri 3-3.

Keputusan seri tersebut tidak mampu untuk bawa Malaysia ke pusingan seterusnya berbanding Korea Selatan. Tetapi, keputusan tersebut diselubungi rasa tidak puas hati penyokong Korea Selatan.

Layak sebagai naib juara kumpulan E di belakang Bahrain, Korea Selatan berdepan tugas sukar apabila bertemu satu lagi pasukan pilihan iaitu Arab Saudi.

BACA LAGI: Son Heung Min sepasukan punca Harimau Malaya kembali lonjak 4 anak tangga ranking FIFA

son

Son Heung-min (tengah) kecewa gagal berikan kemenangan buat Korea Selatan. — Agensi

Dengan Korea Selatan dilihat berhempas-pulas untuk keluar daripada kumpulan E, para penyokong Pahlawan Taeguk mahu pengendali pasukan iaitu Jurgen Klinsmann dipecat, selain ada yang mahu kerusi panas itu diambil alih Pan-gon.

Pengendali dari Jerman itu dilihat begitu tenang melihat pasukannya seri dengan Malaysia hinggakan ada yang berasakan dia seolah-olah tidak serius menjawat jawatan tersebut.

"Saya harap Korea Selatan akan kalah di pusingan 16 pasukan terbaik. Selepas itu, gantikan pengurus," kata penyokong bernama Calvin Ryu.

"Selepas dua kali menyaksikan perlawanan Korea Selatan, corak permainan yang ditonjolkan sangat buruk. Kumpulan pemain yang ada bermain dengan teruk sebagai satu pasukan," ujar Tae Jeon pula.

"Dia langsung tak berikan reaksi ketika Son Heung-min menjaringkan (gol ketiga Kora Selatan). Perkara terbaik yang dia boleh lakukan untuk negaranya adalah berikan bentesan dua kaki kepada Klinsmann dan pastikan dia berambus. Jurulatih Malaysia lebih bagus," komen Tayo Mello dengan penuh marah.

BACA LAGI: [VIDEO] 'When magic happens', jaringan Faisal Halim raih pujian seteru, disebut sebagai GOTT

422372548_1084724609267441_2435753287372772811_n

Faisal Halim (kanan) meraikan jaringannya menentang Korea Selatan. — Facebook/FAM

Rata-rata penyokong berasa terlalu kecewa dengan persembahan Klinsmann bersama-sama Korea Selatan. Pada mereka, pengendali itu telah merosakkan pasukan yang dianggap sebagai generasi emas kerana mempunyai bintang-bintang seperti Hwang Hee-chan, Lee Kang-in dan Kim Min-jae selain ketua pasukan Son Heung-min.

Ada yang berpendapat, eloklah jika Pan-gon kembali semula ke negara asalnya untuk menguruskan Korea Selatan kerana dia lebih tahu mengenai bola sepak negara tersebut berbanding orang luar seperti Klinsmann.

Dengan Pan-gon dikatakan 'merajuk', mungkin FA Korea boleh cuba-cuba untuk mendapatkannya semula menyertai mereka.

Ia mungkin satu tawaran yang sukar untuk ditolak jika FA Korea benar-benar datang untuk dapatkan Pan-gon, tetapi jika dia masih setia bersama Malaysia, dia akan terus dengan Harimau Malaya.

Cinta Pan-gon kepada Harimau Malaya benar-benar terserlah, lihat saja waktu dia meraikan gol Romel Morales, semangatnya untuk Malaysia tak pernah pudar. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram