Menyelami tugas penganalisis data, 'tulang belakang' kejayaan pasukan bola sepak


  • Podium
  • Ahad, 04 Feb 2024

Penganalisis data membantu barisan kejurulatihan melakukan aturan lebih tepat pada hari perlawanan. — Facebook/FAM

DALAM bola sepak hari ini, segalanya semakin mendalam dan teliti pelaksanaannya. Ia tidak tertumpu kepada sekadar sesi latihan, taktikal dan teknikal tetapi sains sukan turut mula menjadi penting.

Sains sukan pula tidak tertumpu kepada hal pemakanan pemain serta cara mereka dirawat apabila cedera sahaja. Sebaliknya, penggunaan data-data menerusi analisis mendalam kini turut menjadi perkara normal untuk sesebuah pasukan bola sepak profesional.

Maka, wujudlah sebuah jawatan yang diberi nama sebagai penganalisis data atau data analyst. Seiring dengan kemajuan bola sepak moden, peranan seseorang penganalisis data turut memainkan peranan dalam memastikan sebuah pasukan itu menang dan kalah pada hari perlawanan.

Menurut salah seorang penganalisis data, Shaiful Shazwan, tugas asas bagi jawatan tersebut adalah memastikan penyediaan pasukan sebelum, semasa dan selepas perlawanan.

"Secara ringkas, tugas seorang penganalisis data adalah untuk menyediakan laporan yang merangkumi analisis sebelum, semasa dan selepas perlawanan. Laporan analisis ini melibatkan kajian bagi mengenal pasti kekuatan serta kelemahan pasukan sendiri serta pasukan lawan.

"Dengan disokong oleh taburan data, serta output secara visual yang boleh diguna pakai oleh barisan kejurulatihan dalam merangka sesi latihan, serta membuat keputusan dalam mengambil sesuatu pendekatan permainan," kata Shaiful kepada Majoriti.

WhatsApp Image 2024-01-24 at 12.46.09

Shaiful (duduk, dua dari kanan) merupakan mantan penganalisis data di skuad remaja Kuala Lumpur City FC. — Shaiful Shazwan

Selain daripada pembantu jurulatih, penganalisis data sebenarnya boleh dikatakan sebagai orang kanan jurulatih sesebuah pasukan.

Hal ini kerana, menerusi input yang diperoleh mereka ketika sesi latihan terutamanya rakaman video, akan digunakan dengan menyeluruh oleh jurulatih.

Oleh itu, bermain dengan kamera rakaman dan skrin tablet adalah perkara biasa buat seorang penganalisis data.

"Tugas penganalisis kini semakin berkembang, di mana mereka kini telah terlibat secara langsung dalam setiap sesi latihan.

"Sebagai contoh, ketika sesi latihan berlangsung, penganalisis bukan sahaja perlu merakam sesi latihan, malah mereka perlu menjadi lebih proaktif dalam menyampaikan input serta mesej kepada barisan kejurulatihan dalam meningkatkan lagi prestasi pemain secara individu dan pasukan.

BACA LAGI: 'Dua penalti, kad merah', keputusan tepat pengadil Malaysia warnai game Iraq-Vietnam

WhatsApp Image 2024-01-24 at 12.37.58

Shaiful (baju biru) mengadakan sesi analisis video bersama-sama para pemain. — Shaiful Shazwan

"Ia dapat dilakukan menerusi perkongsian suntingan video ketika atau selepas selesainya sesi latihan, serta berkongsikan data yang berkaitan untuk perhatian serta tindakan lanjut barisan kejurulatihan. Proses ini berterusan sehinggalah perlawanan yang melibatkan pasukan mereka berlangsung," ujar Shaiful menerangkan mengenai tugas harian penganalisis data.

Menurut Shaiful yang pernah berkhidmat untuk skuad remaja Kuala Lumpur City FC, sebenarnya semua orang boleh menjadi penganalisis data kerana tiada syarat kemasukan khas ditetapkan oleh pasukan di Malaysia untuk jawatan tersebut.

Namun begitu, mempunyai lesen kejurulatihan serta tahu selok belok bola sepak adalah bonus untuk maju sebagai penganalisis data.

"Sehingga kini,masih belum ada sebarang pra-syarat yang ditentukan oleh pihak pengelola pertandingan mahupun daripada pihak pengurusan pasukan bagi menjadi seorang penganalisis.

"Namun begitu, pihak FAM kini sedang merangka langkah untuk menganjurkan kursus performance analysis tahap 1 dan tahap 2, di mana ia bakal dijadikan antara syarat yang perlu dipatuhi bagi melayakkan seseorang itu untuk menjadi penganalisis data," terang Shaiful.

BACA LAGI: ‘Bagi dia banyak minit’, Selangor diminta gilap bakat lepas lanjut kontrak ubi muda

WhatsApp Image 2024-01-24 at 12.36.48 (1)

Bermain dengan kamera adalah salah satu asam garam seorang penganalisis data. — Shaiful Shazwan

Melihat kepada bola sepak bergerak semakin pantas, Shaiful berpendapat yang penganalisis data adalah 'tulang belakang' sebuah pasukan.

Tanpanya, pasukan tidak mampu mengesan sekecil-kecil data yang kemudiannya boleh membantu mereka maju di masa depan.

"Saya percaya setiap jurulatih harus disokong oleh sistem sokongan yang kuat bagi membantu dirinya dalam melakukan keputusan, serta melaksanakan tanggungjawabnya terhadap pasukan.

"Evolusi serta kepesatan teknologi sains sukan ketika ini juga dilihat semakin memudahkan tugasan penganalisis dalam menyediakan laporan, sekali gus dapat menjimatkan banyak masa yang boleh diperuntukkan pasukan untuk program lain," jelas Shaiful menutup perbualan. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram