[VIDEO] 'When magic happens', jaringan Faisal Halim raih pujian seteru, disebut sebagai GOTT


  • Podium
  • Jumaat, 26 Jan 2024

Barisan pemain Malaysia meraikan keputusan berjaya mengikat gergasi Asia, Korea Selatan 3-3 dalam aksi terakhir Kumpulan E pada Khamis. — Facebook/FAM

PEMAIN sayap kebangsaan, Muhammad Faisal Abdul Halim berjaya menemui sentuhan penyudahnya apabila menjaringkan gol cantik ketika membantu Malaysia mengikat gergasi Asia, Korea Selatan dengan keputusan 3-3 pada Khamis.

Faisal yang sebelum ini gagal mempamerkan magisnya dalam dua perlawanan terakhir dilihat berjaya menemui keyakinannya untuk mengelirukan pertahanan Korea Selatan, Kim Min-jae yang dilabel antara 'kereta kebal' terbaik di Eropah ketika ini.

Pada minit ke-48, Faisal berjaya merampas bola lantunan daripada pemain Korea Selatan sebelum melakukan skil lincahnya sehingga membuatkan Min-jae serta penjaga gol,Jo Hyeon-woo keliru dengan gerakannya itu.

Faisal yang membuat pusingan U terus melakukan tendangan 'chip' untuk membolehkan bola melepasi di antara pertahanan dan penjaga gol lawan untuk menghasilkan gol pertama skuad kebangsaan dalam Piala Asia.

Jaringan yang dihasilkan oleh Faisal itu ternyata mendapat liputan daripada pelbagai media dan pemerhati bola sepak dalam dan luar negara.

Malah Konfederasi Bola Sepak Asia (AFC) menerusi aplikasi media rasmi mereka melabelkan jaringan pemain berusia 26 tahun itu sebagai magis buat skuad kebangsaan.

"When magic happens."

BACA LAGI: [VIDEO] Selangor wajar pertimbangkan rakan Nooa Laine ganti Ayron del Valle

Dalam perlawanan itu, pengendali Korea Selatan, Jurgen Klinsmann seolah-olah memandang mudah cabaran Malaysia apabila menurunkan empat pemain kelab Ulsan Hyundai berbanding membawa masuk bintang-bintang 'Taegeuk Warriors' yang beraksi di Eropah.

Penyerang naturalisasi baharu, Romel Morales berjaya melakukan jaringan debut bersama Harimau Malaya dengan epik apabila hanya memerlukan dua minit daripada bangku simpanan untuk mengikat pasukan yang berada di ranking ke-23 dunia itu.

BACA LAGI: [VIDEO] Intan Serah salah maki KPG, nak Pawi tapi Romel Morales menjadi

Selain Romel dan Faisal, Arif Aiman turut menempa nama selaku penjaring apabila meledak gol menerusi sepakan penalti selepas dikasari oleh pertahanan Korea Selatan pada minit ke-62 permainan.

Namun begitu, Malaysia masih tidak layak ke pusingan 16 kerana mengakhiri kempen Piala Asia dengan kedudukan terakhir Kumpulan E. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram