CABARAN pasukan Asia Tenggara, Vietnam berakhir dengan penuh pahit apabila mereka terpaksa tunduk kepada Iraq.
Selepas kalah kepada Jepun dan Indonesia, Vietnam berharap dapat membawa pulang mata dari Piala Asia 2023 supaya dapat menutup kempen dengan sedikit senyuman.
Namun begitu, usaha tersebut tidak menemui jalan yang diharapkan skuad kendalian Philippe Troussier kalah 2-3 kepada Iraq pada aksi terakhir peringkat kumpulan.
Vietnam bermula dengan cemerlang apabila berjaya mendahului sebelum tamat separuh masa pertama menerusi jaringan Bui Hoang Viet Anh. Namun begitu, kegembiraan itu tidak lama.
Pengadil perlawanan dari Malaysia, Nazmi Nasaruddin memilih untuk menghukum Vietnam dengan kad merah pada masa kecederaan separuh masa pertama apabila Khuat Van Khang dibuang padang.
BACA LAGI: ‘Bagi dia banyak minit’, Selangor diminta gilap bakat lepas lanjut kontrak ubi muda
Penyerang itu dibuang padang selepas dia yang sebelum itu sudah mempunyai kad kuning, dilayangkan kad sama sebelum rehat separuh masa.
Iraq berjaya menyamakan kedudukan pada awal separuh masa kedua menerusi gol Rebin Sulaka sebelum Aymen Hussein meletakkan Singa Mesapotamia di depan pada minit ke-73.
Derita Vietnam belum lagi berakhir apabila Nazmi memberikan sepakan penalti kepada Iraq pada minit ke-81 selepas semakan semula oleh sistem VAR. Namun begitu, sepakan penalti oleh Aymen tidak menghasilkan gol.
Vietnam berjaya melawan semula menerusi bintang mereka iaitu Nguyen Quang Hai pada minit ke-90+1. Di saat mereka menghampiri satu mata, Nazmi muncul dengan satu lagi keputusan yang tidak menyebelahi Naga Emas.
Vo Minh Trong yang menjatuhkan pemain Iraq dalam kotak penalti kemudiannya dipersalahkan oleh Nazmi. Untuk kali kedua, Aymen yang mengambil sepakan penalti berjaya menyempurnakannya sekali gus memberikan tiga mata buat Iraq.
Nazmi menjadi antara tiga pegawai perlawanan Malaysia di Piala Asia. — FAM
Tiga keputusan penting oleh Nazmi nyata memberikan impak besar kepada perlawanan ini terutamanya buat Vietnam yang begitu hampir mendapatkan keputusan seri.
Namun begitu, kesemua keputusan yang dilakukan itu adalah tepat. Satu persembahan baik yang ditonjolkan oleh pengadil Malaysia di peringkat antarabangsa.
Perlawanan ini turut menyaksikan, dua lagi pembantu pengadil dari Malaysia iaitu Zairul Khalil Tan serta Arif Shamil Abd Rasid juga bertugas. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram