JOHOR Darul Takzim (JDT) membuat pusingan U apabila mengambil semula mesin gol dari Argentina, Fernando Forestieri yang baru sahaja mengucapkan selamat tinggal pada awal Januari ini selepas dua musim bersama juara 10 kali berturut-turut Liga Super itu.
Berdasarkan pengumuman dari media sosial rasmi kelab berkenaan, keputusan tersebut diambil selepas perbincangan lanjut dilaksanakan bersama pemilik JDT, Tuanku Mahkota Johor (TMJ), Tunku Ismail Ibni Sultan Ibrahim bersama Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) JDT, Alistair Edwards.
“Berikutan perbincangan bersama pemilik kelab, DYAM Mejar Jeneral Tunku Ismail Ibni Sultan Ibrahim, Tunku Mahkota Johor, Fernando Forestieri dan saya sendiri, penyerang tersebut akan kekal dalam skuad JDT.
“Serta tiga pemain antarabangsa baharu akan mengukuhkan pasukan secara strategik di beberapa posisi untuk musim 2024-25,” kata Alistair menerusi kenyataan pada Ahad.
BACA LAGI: Rajin dan berbisa, pemergian Forestieri ditangisi penyokong JDT
Di mata penyokong JDT, Forestieri akan sentiasa dikenang sebagai pemain yang rajin dan sanggup 'mati' demi pasukan.
BACA LAGI: [VIDEO] Nazmi Faiz paling disiplin, Aidil Zafuan kongsi karakter lain Fernando Forestieri di JDT
Pada awal Januari lalu, penyerang kelahiran Argentina berkenaan disahkan tidak berada dalam perancangan Harimau Selatan sehingga menyebabkan ramai penyokong sukar untuk menerima hakikat.
Seakan-akan mendengar rintihan penyokong, Tunku Ismail akhirnya membuat keputusan semula membawa semula Forestieri yang mana merupakan watak utama memenangi double quadruple pada 2022 dan 2023.
Pemain berusia 34 tahun itu menjaringkan 47 gol dan 21 bantuan jaringan menerusi 69 penampilan dengan JDT dan nampaknya rekod berkenaan akan terus bertambah pada saingan musim baharu ini.
Selain Forestieri, Francisco Geraldes dan pemain import dari Syria, Jalil Elias diumumkan sebagai wajah baharu Harimau Selatan menjelang musim 2024/25 nanti. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram